Monday, 14 April 2014

Review Buku: Bagaimana Menyentuh Hati


Buku ini, saya kirakan antara buku yang wajar tersenarai dalam 'must-read-book' oleh mereka yang merasakan diri adalah seorang da'ie.

Bertepatan dengan mesej dari video Mat Luthfi, Sebelah Sayap, buku ini banyak mengajak kita untuk berfikir kembali apakah pendekatan yang seharusnya seorang da'ie ambil bagi memenangi hati mad'u. Berhikmah tidak semestinya berlemah-lembut, tetapi membawa maksud hendaklah bijak menangani sesuatu masalah dengan mengambil kira aspek situasi, kesesuaian masa, kecenderungan mad'u dan juga aspek-aspek lain.

Tugas seorang da'ie hanyalah sebagai seorang perantara mesej Tuhan kepada manusia lain. Allah berfirman,
"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya." [Al-Baqarah: 272]

Seorang da'ie, tugasnya bukannya menghukum. Tapi mengajak. Mengajak manusia mengenal Tuhan.

"Para da'ie seharusnya menghindari sikap ekstrem dan berlebih-lebihan dalam persoalan agama. Hendaknya mereka mengajak umat manusia dengan lemah-lembut dan kasih-sayang, sebab sikap berlebih-lebihan dalam agama menyebabkan orang lari dan menjauh dari jalan dakwah." [petikan buku, m/s:246]

"Perlu kiranya saya jelaskan bahawa kepada saudaraku, para da'ie. bahwa dakwah yang bertahap, perlahan-lahan, dan terprogram untuk mencapai hati, -sering memerlukan waktu berbilang bulan dan tahun- bukanlah sesuatu yang tanpa target dan tujuan." [petikan buku, m/s:236]

"Demi Allah! Seseorang yang mendapat hidayah dengan disebabkan kamu lebih baik dari unta merah (puncak harta kekayaan orang arab)."  -Riwayat Imam Al-Bukhari -

Ada Apa Dengan Buku?


Saya baru sahaja bermula untuk membaca buku secara serius. Dahulu, dari zaman sekolah rendah hinggalah ke zaman kolej persediaan, saya pembaca manga jepun tegar. Juga peminat anime. Juga berjinak-jinak dengan videogames sejak 3 tahun yang lalu. Otaku through and through lah senang cakap.

Dan awal tahun lalu, saya mula dapat kesedaran untuk membaca bahan bacaan yang lebih berat. Bukan lagi hanya membaca komik dan novel-novel picisan. Benar ia sukar. Bukan mudah untuk membaca buku yang penuh perkataan apabila otak sudah terbiasa diberi gambaran grafik dan visual.

Kerana apa? Kerana saya sedar saya sudah ketinggalan jauh di belakang rakan-rakan lain yang sibuk mengintelektualkan diri. Sedar hakikat bahawa membaca bahan bacaan ringan tidak dapat membantu memberi solusi dalam menyelesai masalah masyarakat. Mana mungkin dengan membaca komik dan menonton anime mampu menyelesaikan masalah ekonomi, masalah sistem pendidikan negara, masalah sosial secara berstruktur dan strategik. Tak mungkin.

Dan kini, apabila saya mula banyak membaca, ada rakan2 yang berkata begini lebih kurang;
"Macam mana kau boleh baca buku camni eh? Aku tak boleh la.. Aku ada try,, tapi aku tak boleh. Macam susah la, berat sangat nak baca buku macam yang kau baca ni..."

Ya, saya tidak nafikan. Antara punca utama rata-rata anak muda tidak minat membaca, adalah kesan daripada sistem pendidikan kita sendiri. Sistem yang tidak menimbulkan rasa cinta pelajar pada ilmu. Membuatkan pelajar bosan belajar dan peperiksaan menjadi ruang muntahan segala hafalan.

Namun begitu, saya percaya, masih tidak terlewat untuk mula menanam minat membaca dari sekarang. Pada peringkat permulaan, mungkin anda tidak dapat nampak apatah lagi memahami apalah yang best sangat dengan membaca ini. Tapi bila semakin banyak buku yang anda baca, baru anda akan faham. Faham hakikat ilmu Tuhan ini amat luas. Terlalu luas. Dan apa yang lebih memuaskan hati, apabila buku yang anda sedang baca, berkait pula dengan buku yang anda pernah baca sebelum ini, berkait pula dengan isu yang itu, diskusi hari itu. Sukar untuk saya terangkan di sini. Tapi saya percaya orang yang banyak membaca pasti akan dapat tangkap maksud saya. Bila mana dengan semakin bertambah buku yang dibaca, makin luas skop pandangan kita terhadap kehidupan. Dan kita akan dapat melihat sesuatu dari konteks 'the bigger frame'.

Jadi, mulakanlah membaca bahan yang agak berat bagi level anda bermula dari sekarang.
Persoalannya; anda memang tidak mampu, atau anda yang memandang rendah pada kebolehan diri sendiri?
Kalau saya boleh, mengapa anda tidak boleh?
Mulakan. Walau permulaannya mungkin sukar.

ps: Ya. Komik-komik di atas ini adalah harta karun milik saya. Dan ada lagi dua rak yang komiknya lebih kurang sebanyak ini.

Ulangan cabaran; Kalau saya boleh, kenapa anda tak boleh?