Hari ini aku fikir mahu menulis sebuah warkah, sebagai jawapan balas artikel blog yang pernah kau dedikasi pada aku beberapa bulan yang lalu. 2014 yang masih berbaki ini, entah mengapa hati tergerak mahu menulis.
Baru tadi aku mengulang baca nukilan itu. Kau ingat bukan bahawa pernah aku nyatakan yang aku tidak berapa faham isi maknanya? Mengulang bacanya tadi jujur aku katakan aku cuma barangkali baru faham sedikit. Barangkali atas sebab suasana, lokaliti yang berbeza, cara pandang dan keresahan kita berdua berlainan. Yang buatkan aku kurang dapat menangkap keresahan yang kau sedang rasa.
Sudahlah. Marah pula pembaca yang belum pernah membaca warkah kau itu akibat tidak faham.
Hati aku terdetik untuk menulis, hasil ketukan lewat perbualan kita Ahad lalu di Skype.
Paling berbekas di hati bilamana kau katakan;
"Di mana pergi Feezo dahulu yang positif? Yang optimis dan bersemangat? Sekarang ini aku lihat, kau ini negatif sahaja."
Sekalipun tersentak, tapi hati dan fikiran aku laju sahaja mengiyakan.
Iya. Aku sendiri sedar bahawa aku yang hari ini, jauh bedanya dari aku di awal tahun lalu. Pada awal kaki mula-mula melangkah di bumi Jerman ini.
Mengapa aku seolahnya sudah berubah? Fikiranku laju menuding salah pada faktor luar.
Universiti. Subjek-subjek di kelas, banyak mempengaruhi cara fikir aku. Kelas-kelas yang namanya seolah kering dan membosankan bagi banyak pelajar kejuruteraan, tapi tidak bagi aku. Kelas Perakaunan, Business Economics, Marketing, Political Economy, Manufacturing Economy, Cost and Performance Calculation (yang aku terjemah bulat-bulat dari perkataan jermannya iaitu Buchfuhrung und Bilanzierung, ABWL, Marketing, VWL, Fertigungswirtschaft, dan Kosten und Leistungsrechnung) banyak membuka cara pandang baru dan mengajar aku tentang realiti dunia hari ini. Atau lebih tepat, dunia kapitalis hari ini.
Di kelas Marketing, aku belajar, bagaimana banyak benda dimanipulasi hanya semata mahu menarik perhatian pembeli. Manipulasi naluri dan psikologi manusia, untuk melariskan produk. Juga beberapa strategi yang pada pandangan aku kelihatan tidak beretika tetapi tidak salah dalam dunia perniagaan.
Di kelas KLR bilamana Prof Schorb sesekali memetik isu semasa di kelas. Antaranya pernah disebut di kelas, harga minyak yang dibayar dipecah dua, satu memang harga minyak itu ditambah cukai, satu lagi dibayar terus kepada pihak cari gali minyak. Namun katanya mengapa pula bayaran kedua itu masih dikira 19% cukai? Ke mana perginya duit itu?
Prof Tritschler pula semasa kelas Buchfuhrung, entah bagaimana projek Stuttgart 21 dan Berlin Flughafen dipetik di kelas. Di Stuttgart, projek keretapi mega. Di Berlin pula projek lapangan terbang. Yang kedua-duanya penuh spekulasi. Di kelas hari itu, bertalu-talu juga soalan dilempar dari pelajar-pelajar menzahirkan rasa tidak puas hati. Aku kurang faham di kelas. Lalu aku cuba buat carian di internet berkenaan dua isu ini. Alangkah terkejutnya aku bilamana negara yang terkenal dengan ketelusannya dalam mengendalikan projek, juga punya masalah korupsi dalam 2 projek mega sebegini. Stuttgart 21 yang dijadualkan untuk siap pada tahun yang ditetapkan dan kos yang ditetapkan, kini kosnya makin lama makin bertambah. Dan tarikh sebenar patut siap pula memang bakal bertangguh. Berlin Flughafen lebih teruk. Sepatutnya dibuka beberapa tahun dahulu, kini terpaksa ditangguhkan atas sebab jurutera yang bertanggungjawab mereka 'fire-alarm-system' rupa-rupanya jurutera palsu. Jadi seluruh sistem itu perlu direka semual dari awal kerana tidak berfungsi. Isu korupsi, pengurusan yang bermasalah, menjadi faktor utama.
Banyak lagi input-input dari kelas lain. Tapi buat masa ini biarlah ini dahulu.
Cumanya yang aku mahu sampaikan, input-input inilah yang banyak menerbitkan pandangan-pandangan skeptik aku terhadap banyak benda. Dunia yang serba kompleks ini, sudah jarang hanya aku pandang dari lapis pertamanya. Entah sejak bila apa sahaja isu, perkara, idea yang dihadapkan ke muka aku, otak aku mereka-reka banyak persoalan-persoalan lain yang boleh beri jawapan yang tidak akan dapat aku peroleh pada kilasan pandang pertama. Aku mahu pergi ke lapis-lapis seterusnya. Kerana fikir aku, ruang manipulasi, sentiasa wujud. Selalu wujud.
![]() |
| contoh soalan-soalan yang biasa aku reka. |
Jujur, aku masih ada banyak idea yang mahu dilakukan. Mahu mengkaji, menggali khazanah di perpustakaan sini, sebagai contoh. Tapi apalah gunanya idea andai tiada orang untuk menggerakkan. Aku juga selalu beralasan aku tidak suka berbuat sesuatu secara seorang. Alasan aku mudah, manusia itu makhluk sosial. Mana mungkin boleh hidup seorang-seorang. Sekarang ini aku masih mencuba. Mencari-cari rakan Malaysia yang punya 'passion' yang sama. Kerana sungguh aku tidak suka kalaupun sudah berjumpa rakan, aku pula yang berlagak 'bossy' dan mengarah-arah. Jujur aku sangat tidak suka.
Rakan Malaysia. Mengapa mesti rakan Malaysia? Bukan aku tidak punya kawan-kawan dari negara lain. Tapi, terasa lain intipati perbualan antara dua ini jauh beza. Aku rasa barangkali atas 'mindset' aku yang mahu fokus menyumbang untuk Malaysia sejurus pulang ke Malaysia, aku jadi lebih cenderung untuk memahami pemikiran warga Malaysia itu sendiri atas sebab aku mahu cari sisi seimbang. Tidak mahu nanti aku cumalah idealistik dengan idea-idea yang sekadar menciplak bulat-bulat dari apa-apa budaya atau sistem luar yang nantinya tidak kena pula dengan Malaysia untuk diimplementasi atas kekurangan faham aku terhadap situasi Malaysia.
Namun, adakah aku hanya menabur alasan?
Fikiran kembali mengingat beberapa pertemuan dan isi perbualan bersama kenalan juga 'strangers' yang terjumpa secara kebetulan.
Lelaki sekitar umur 30-an yang aku jumpa beberapa kali di dalam bas di hentian Zundhutle. Dengan basikal hitamnya di sisi. Katanya dia dari Algeria. Mula-mula menegur aku bilamana nampak aku sedang membaca di dalam bas. Katanya bekerja dalam bidang 'software'. Kini sedang obses dengan apa-apa yang berkaitan dengan Jepun dan sedang mengikuti kelas bahasa Jepun. Aku masih ingat lagi butir perbualan awal, yang dia menyebut, dalam Quran sendiri, ayat pertama perintahnya adalah untuk baca. Sarannya agar aku banyak membaca. Sambil dirinya menzahirkan kekecewaan mengatakan negara dari tempat dia datang, budaya ini tiada. Cadangan buku dari nya untuk membaca novel bertajuk Shogun. Itu perbualan pertama. Kali kedua terserempak, ketika isu MH370 baru sahaja naik. Nampak sahaja aku, terus bertanya, adakah semuanya ok, macam mana Malaysia. Mengharukan. Emailnya, kini masih ada dalam simpanan aku. Namun tidak pernah aku menghubunginya. Kini setelah berpindah rumah, stesen itu tidak lagi aku kunjungi. Dia pun sudah tidak pernah aku jumpa lagi.
Perempuan Jerman sekitar usia 50 tahun aku kirakan yang sempat aku bertemu di Masjid An-Nur pada pagi hari sambutan Aidil Adha, 5 Oktober 2014. Ibu kepada seorang 'revert', anak perempuannya. Memenuhi jemputan anaknya untuk melawat masjid. Katanya serba baru pengalaman itu. Pertama kali melawat masjid meski anaknya sudah 12 tahun memeluk Islam. Banyak aku bualkan dengannya. Dapat tahu bahawa dia dahulu semasa kecil belajar di Jerman Timur, maknanya di bawah pemerintahan USSR sebelum Jerman Timur dan Barat bersatu pada tahun 1990. Ada bualan sekitar pengalaman, tanya-jawab berkenaan ahli falsafah Jerman, juga persoalan ketuhanan. Ada juga dia ceritakan pada aku beza gagasan idea Stalin dan Lenin. Mengujakan. Emailnya juga ada dalam simpanan aku. Juga tidak pernah aku berhubung dengannya selepas itu.
Rakan Turki, Hatice namanya yang sama jurusan dengan aku. Sabtu lepas baru sahaja sama-sama berkunjung ke rumah kawan Kirgistan yang membuat jamuan makan. Baru aku tahu rupa-rupanya dia sukakan sajak-sajak Jalaludin Rumi. Juga kakaknya tinggal di Konya, Turki.
Rakan Jerman, Elena antara kenalan yang agak rapat juga di Uni. Dari dia banyak aku berbual-bual soal pengalaman dan sekadar bercerita. Mungkin atas sebab aku kurang fasih berbahasa Jerman, aku kurang bercakap dan lebih banyak mendengar. Itupun biasa sahaja ada yang aku tak dapat tangkap. Rakan yang banyak aku bertanya soal pelajaran, juga aku suka kalau dia betulkan bual bicara aku bilamana tatabahasaku salah.
Lalu aku fikir, adakah aku ini selalu sahaja cemburu dengan apa yang aku tidak ada, yang jauh dari aku, sampaikan yang dekat aku tak hargai? Hubungan yang agak terbatas dengan komuniti di sini, atas salah aku sendiri. Di Universiti aku suka duduk seorang-seorang. Alasanku, aku rasa aku lebih mudah fokus di kuliah. Rakan-rakan lain pula, jarang-jarang juga aku 'reach-out'. Pakcik Algeria dan Makcik yang jumpa di masjid dahulu, entah apa khabar mereka agaknya. Meski singkat tempoh berbual, 'blend-in' dalam komuniti di sini, banyak sahaja input yang aku dapat. Apa pula kalau aku benar-benar gigih menjaga hubungan? Barangkali lebih banyak mampu aku belajar. Sampai bila mahu beralasan tidak petah berbahasa Jerman? Sampai bila mahu beralasan segan sebab semua kena buat seorang-seorang?
Sampai bila mahu beralasan Feezo?
Makin meningkat dewasa, makin banyak tahu dan makin bertambah ilmu.
Tapi adakah makin bertambah baik? Adakah ilmu yang diperoleh, bertambah berkatnya?
Keresahan yang ini, entah bila akan terus diresahkan.
Dan soalan yang sama, yang pernah beberapa kali aku soalkan pada diri aku. Dan aku katakan pada kau. Mengapa agaknya aku dihantar ke bumi Jerman ini? Hinggalah sekarang, aku masih mencari-cari hikmahnya.
Semoga Tuhan tunjukkan. Kerana aku percaya, mencari hikmah, umpamanya mencari ketenangan.
Untuk Brunsfield, semoga baik-baik sahaja. Maaflah banyak pula membebel di sini. Dan barangkali banyak sahaja persoalan yang sama telah aku lemparkan pada kau dalam perbualan kita. Cuma aku mahu kau tahu, aku sangat hargai segala titipan nasihat dari kau. Tegur-tegurlah aku bila aku tersalah sahabat. Siapa sahaja di sini yang ada untuk ingat-ingatkan aku bila tersalah. Juga, jangan lupakan kiriman doa buatku sahabat.
Subjek Marketing dan Statistik memanggil-manggil untuk helaian nota dibuka dan ditelaah. Salam sayang buatmu. Moga sentiasa optimis seperti kau yang dulu. Moga tidak terkena tempias negativisme dari aku.
| pemandangan dari tingkap bilik. sejuk salji selalu buat aku rasa bermalas-malasan. juga, rasa sunyi. |
Ps: Untuk Cairo, kalau kau baca, nak request satu warkah untuk kau tulis buat aku boleh? Hehe.
31.12.2014.
Karlsruhe.
Bandar kelahiran Oliver Kahn.

