Saturday, 23 August 2014

Ulasan Buku: Islam, Songkok & Bahasa



Buku ini dibeli sekitar 2 minggu yang lalu. Faktor penarik utama kenapa buku ini dibeli sudah tentu kerana tajuknya yang aku fikir, punya maksud yang mendalam, juga caption; Awasi Rasa Ghairah yang Boleh Membunuh. Bacaan kini masih belum tamat. Baru nak masuk separuh.

Pada awalnya, aku fikir, bacaan dari buku ini barangkali boleh membawa aku untuk memahami realiti hidup masyarakat Melayu-Muslim di Singapura yang selama ini tidak pernah pula aku tahu akannya. Yang aku tahu, cuma sebilangan masyarakatnya yang mempercayai cerita-cerita hantu dan kepercayaan mistik merujuk bacaan aku dari True Singapore Ghost Stories(yang semestinya tidak ilmiah) yang sangat aku gemari semasa di menengah rendah dahulu. Yalah, buat modal untuk bercerita bilamana gathering cerita hantu dengan kawan-kawan. *ketawa*

Berbalik kembali kepada ulasan buku. Niat utama, hanya mahu tahu apa agaknya beza bilamana berada dalam kelompok minoriti bukan majoriti, namun alangkah terkejutnya diri ini bilamana helaian demi helaian buku dibelek, sebegitu banyak sekali isu yang diutarakan oleh penulis, rupanya turut mencerminkan realiti masyarakat Melayu-Muslim di Malaysia. Dari isu kepentingan ilmu, profil orang Melayu, kritik terhadap penganjuran majlis-majlis keagamaan, masalah sosial dalam kalangan remaja muslim, dll. Sekian lama kita tahu bahawa di Singapura, rakyatnya yang berbangsa Melayu dan muslim adalah minoriti dan sebaliknya pula di Malaysia. Yang buat aku terfikir sepanjang membaca, rupanya, masalah kita bukan pada minoriti atau majoritinya kita. Tapi pada sikap kita sendiri. Pada sikap Melayu-Muslim secara khusus, dan Muslim itu sendiri secara umum.

Buat makluman semua, buku ini adalah himpunan artikel penulis, Maarof Salleh, yang pernah tersiar dalam Berita Harian Singapura. Sesuatu yang menarik adalah bacaan yang sudahpun saya baca setakat muka ke 128 ini hanyalah artikel yang bertarikh Januari 2006 hingga April 2007. Kalau mahu dikira logik, boleh dikatakan isinya barangkali outdated, tapi ternyata tulisannya cukup relevan untuk dibaca meski sudah berusia 8 tahun.

Bagi rakan-rakan yang lebih cenderung bahan bacaan yang berat, barangkali buku ini kurang memenuhi citarasa anda. Namun, buat yang mahu bacaan yang agak ringan tetapi tetap sarat dengan input baharu, ingin sekali saya cadangkan kalian untuk membaca buku ini. Tulisannya lebih bersifat objektif, tidak seperti gaya tulisan Ustaz Hasrizal Jamil namun masih sedap dibaca. Penulis juga saya kirakan luas pembacaannya. Adakalanya beliau memetik kata Syed Hussein al-Attas, kadang Profesor Ungku Aziz, serba sedikit sejarah Mahatma Gandhi, pengaruh faham Machiavelli, dll. Menarik dan bijak sekali semua ini diadun dan disesuaikan dalam petikan artikel beliau.

ps: sekiranya anda tidak mahu membelinya, kalau-kalau terjumpa di kedai buku, saya sarankan untuk baca 2 artikel ini. Pendek sahaja dan tidak makan banyak masa untuk hadam.
1) Isu 21: Bahasa, Songkok dan Agama Islam.
2) Isu 23: Berfikiran Rasional Dalam Menanggapi Isu Agama.
Membaca 2 artikel ini, kalau tidak pada anda tetapi sekurang-kurangnya pada saya, ia banyak membawa saya untuk befikir tentang Malaysia. Isu yang pernah dan masih saya fikirkan. Entah kan bila kan ketemu solusinya.

Makanya, selamat membaca!
Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.