Thursday, 22 January 2015

Rabbi zidni 'ilma


Baru-baru ini ada terbaca di satu blog yang popular mengaitkan teknik pemasaran dan strategi dakwah. Antara petikan artikel yang di copy paste:

"Nah, apa persamaan Milo, Pampers dan Megi?

Oleh kerana betapa hebatnya penjenamaan produk-produk ini, ia benar-benar melekat di dalam otak kita. Oleh kerana penangan produk-produk ini begitu mengesankan kita, amat sukar sekali untuk kita melupakannya. Oleh kerana sudah begitu lama produk-produk ini wujud di dalam kehidupan kita, ia seolah-olahnya sudah sebati dengan kita.

Sehingga semua produk air berperisa cokolat kita panggil Milo.

Sehingga semua lampin pakai buang kita panggil Pampers.

Sehingga semua jenis mi segera kita panggil Megi.

Samalah juga dengan produk-produk lain seperti Kolget, Kiwi (kasut), Nescafe, Taperwer dan burger Ramly. Produk-produk ini begitu mengesani kehidupan kita, rakyat Malaysia khususnya, sehinggakan semua produk yang serupa akan dipanggil dengan nama yang sama.

Hampir semua jenis ubat gigi dipanggil Kolget.

Hampir semua bekas makanan plastik dipanggil Tapewer.

Dan hampir semua jenis burger yang dijual tepi jalan akan dipanggil burger Ramly.

Memang lejen!

Di dalam bidang pemasaran, ini adalah suatu pencapaian yang cukup cemerlang dan membanggakan. Masakan tidak? Tidak perlu bersusah-payah dan berpeluh ketiak, produk-produk ini akan sentiasa mendapat pemasaran secara percuma sahaja apabila makcik-makcik sibok bersohseh-sohseh di pasar-pasar pagi atau pakcik-pakcik yang sibok bermain dam haji di kedai-kedai kopi. "

Saya hanya mahu highlight bahagian ini:
"Di dalam bidang pemasaran, ini adalah suatu pencapaian yang cukup cemerlang dan membanggakan."

Baru sahaja minggu lepas mempelajari topik strategi jenama, berkenaan kesan baik dan kesan buruk multi-branding strategy(Contoh syarikat Procter & Gamble, yang punya banyak jenama seperti Febreze, Olay, Pantene dll) Dalam gambar di bawah, di bahagian kanan adalah senarai kesan buruknya. 
 
 


Kesan buruk ketiga:
'Die Marke kann zum Gattungsbegriff entarten.'

Yang diterjemah mudah adalah risiko bilamana jenama satu-satu produk itu diguna pakai pengguna untuk semua jenis produk yang sama. Seperti contoh dalam petikan artikel di atas. Kesan buruknya adalah bilamana pembeli tidak lagi membeli produk yang ditawarkan oleh syarikat pengeluar jenama itu, tetapi membeli produk dari syarikat lain kerana bagi mereka, semuanya sama sahaja. Fungsi jenama adalah untuk mendapatkan 'customer loyalty' dan mahu pembeli terus-menerus membeli produk yang ditawarkan tetapi kadang-kadang tanpa disangka pemilihan nama jenama boleh backfire syarikat pengeluar sendiri. Matlamat utama untuk mengekalkan hubungan dengan pembeli sukar untuk dicapai.

Sudah tentu menjadi jenama yang popular juga merupakan satu kesan baik namun kesan buruknya juga masih wujud.

Begitu juga dalam kembara hidup mengutip ilmu. Apabila satu ilmu disajikan kepada kita di peringkat awal, dan selepas diproses otak, hujahnya logik dan masuk akal, mudah sahaja untuk kita terima dan percaya. Sudah tentu tidak salah. Namun, semakin masa berlalu, semakin banyak ilmu diperoleh. Soalnya sekarang, bagaimana mahu mengendalikan ilmu baru bilamana ia seolah bertentangan dengan ilmu yang dipercayai setelah tempoh yang lama?

Ia soal perspektif. Berjumpa dengan yang baru, tidak membawa maksud menolak secara total kefahaman lama. Namun apabila ilmu yang baru, punya hujah yang jauh lebih konkrit yang menolak kesahihan ilmu lama yang ada, maka harus bagaimana?

Keputusan haruslah dibuat seadil mungkin, tanpa mencampur aduk sentimen peribadi atau emotional attachment yang ada.

Sesungguhnya perjalanan mencari ilmu itu, perjalanan yang panjang.
Dengan mengakui bahawa diri sendiri sangat jahil dan cetek ilmu, tidaklah sesuatu yang menjatuhkan martabat diri, bahkan ia sebenarnya membuka ruang untuk seseorang itu semakin merendah diri, semakin mahu mencari ilmu. Dan semestinya, menutup ruang dari timbulnya bibit-bibit sombong, ego dan megah diri atas ilmu yang ada.

Rabbi zidni 'ilma.

Semoga ilmu yang Kau kurniakan, membuatkan diri semakin dekat kepada Engkau, bukan menjauhkan.
 

Thursday, 1 January 2015

Bunga Api

Jam sudah menunjukkan pukul 12.20 pagi.

Tapi bunyi dentuman bunga api belum lagi berakhir. Bermula juga sekitar 11.45 malam tadi.
Rumahku yang jaraknya dari tengah bandar kira-kira 17 minit perjalanan menaiki tram ini, dari ruang jendela sahaja begitu banyak sekali bunga api memenuhi ruang angkasa. Bunyi dentuman sabung-menyabung. Saja kukira, ada sekitar 6, 7 punca dari mana bunga-bunga api itu datang.

[Google Image]


Di Jerman, ada dahulu senior pernah kata, undang-undangnya menetapkan menjelang tahun baru sahaja bunga api, mercun boleh digunakan secara sah di sisi undang-undang. Makanya, jelaslah sebabnya mengapa. (Namun semasa musim piala dunia, jelas sekali undang-undang ini dilanggar. Tidak tahu pula kot-kot ada pengecualian untuk tempoh itu. Atau pengecualian diberi seandainya Jerman menang)

Konsep scarcity. Hanya boleh main bunga api, sekali setahun. Jadi sekali setahun itu, patut dimanfaatkan sepuasnya.

Aku lihat tadi, jujur aku seronok melihatnya. Walau bau asap sedikit kurang enak dihidu, namun pemandangan cantik di depan mata, mahu sahaja ditatap sepuas-puasnya. Rasa seronok. Gembira. Wah, cantiknya. Detik hati. Siapa yang tak suka?

Tapi, kegembiraan itu bukankah hanya sementara?
Mengapa manusia hari ini suka sahaja mengejar sesuatu yang bersifat sementara? Sedangkan Tuhan, sudah menjanjikan kegembiraan yang abadi di alam 'sana'? Mengapa tidak menjalankan urusan hidup mengikut landasan yang ditetapkan Tuhan, untuk mencapai sesuatu yang pasti, dari mengejar sesuatu yang bersifat sementara?

Adakah dunia serasa sangat indah?
Atau kita tidak cukup percaya pada hari akhirat yang pasti?

Aku suka tulisan Hazman Baharom yang baru dicoretnya menjelang Tahun Baru ini. Tentang konsep masa. Lalu aku teringat tulisan Neil Postman yang memetik Lewis Mumford dalam bukunya. Bahawa, masa ini hanyalah satu ciptaan manusia yang membuatkan manusia terasa dunia yang bergerak sekelilingnya boleh dikawal. Masa yang punya 24 jam sehari, 365 setahun ini walau sudah dikira sesempurna mungkin yang manusia mampu, masih juga tidak sempurna. Tahun lompat dan daylight-time saving adalah dua contoh yang menunjukkan bagaimana manusia mengubahsuai pula sedikit sistem 24 jam yang ada untuk disesuaikan dengan kejadian alam. Yang masih diluar kawalan manusia. Yang semestinya tidak akan mampu dikawal secara 100% oleh manusia. Tidak akan. Kerana manusia bukan Pencipta.

Tadi aku cuba-cuba juga merakam bunga api dari tingkap. Sekadar suka-suka. Lalu aku berhenti, menekan butang 'play' dan melihat. Jauh sungguh kualitinya. Ah, kamera lama. Kalau kamera baru mesti lawa. FIkir aku.

Putus asa merakam, Lalu aku lihat sahaja dengan kedua mata.
Dan terus sahaja terfikir; "Ya Allah. Cantiknya pemandangan dari mata sendiri."
Mata ciptaan Tuhan, yang jauh lebih menakjubkan dari segala HD yang ada.

Semakin lama masa berlalu, makin banyak teknologi dicipta manusia.
Makin lama, manusia makin maju. Majunya dia, kadang terasa seperti Tuhan yang 'in-control' terhadap segalanya.

Dia sangka dialah makhluk yang paling bijak.
Tapi bijaknya dia, tidak sampai memikirkan kesan. Lalu kesan buruk yang berlaku, hasil tangannya sendiri, menampakkan jelas bodohnya dia.

Manusia yang semakin hilang sisi manusiawinya. Akibat mengejar ketamakan dan hawa nafsu diri. Ciptaan-ciptaan yang memisahkan dirinya dari alam. Lalu, alam jugalah yang datang menyampaikan mesej, bahawa bijaknya dia hanyalah ilusi. Cuaca yang tidak menentu, bencana alam yang berlaku tanpa diduga, tidak lain tidak bukan mesej dari alam. Manusia, cukup-cukuplah berbuat kerosakan di bumi. Apa kau tidak nampak lagi? Apa kau buta tidak lagi nampak mana kesalahan kau?

Mesej dari alam yang semestinya datang dari penciptanya, Tuhan.
Tuhan, yang juga pencipta manusia.

Jam menunjukkan 12.50 pagi.
Bunyi dentuman bunga api masih kedengaran tapi sudah sayup-sayup.

Terima kasih Tuhan yang mengizinkan aku untuk mengingatiNya.
Hanya pada memerhati bunga api.

Carilah hikmah dari segala yang dilihat. Mencari-cari sisi untuk ingat Tuhan. Ingat Tuhan. Berzikir.
Kerana, mencari hikmah, umpamanya mencari ketenangan.

"Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang."

Bukankah dalam Quran, Tuhan sudah bilang?