Wednesday, 31 December 2014

Untuk Brunsfield

Hari ini aku fikir mahu menulis sebuah warkah, sebagai jawapan balas artikel blog yang pernah kau dedikasi pada aku beberapa bulan yang lalu. 2014 yang masih berbaki ini, entah mengapa hati tergerak mahu menulis.

Baru tadi aku mengulang baca nukilan itu. Kau ingat bukan bahawa pernah aku nyatakan yang aku tidak berapa faham isi maknanya? Mengulang bacanya tadi jujur aku katakan aku cuma barangkali baru faham sedikit. Barangkali atas sebab suasana, lokaliti yang berbeza, cara pandang dan keresahan kita berdua berlainan. Yang buatkan aku kurang dapat menangkap keresahan yang kau sedang rasa.

Sudahlah. Marah pula pembaca yang belum pernah membaca warkah kau itu akibat tidak faham.

Hati aku terdetik untuk menulis, hasil ketukan lewat perbualan kita Ahad lalu di Skype.

Paling berbekas di hati bilamana kau katakan;
"Di mana pergi Feezo dahulu yang positif? Yang optimis dan bersemangat? Sekarang ini aku lihat, kau ini negatif sahaja."

Sekalipun tersentak, tapi hati dan fikiran aku laju sahaja mengiyakan.
Iya. Aku sendiri sedar bahawa aku yang hari ini, jauh bedanya dari aku di awal tahun lalu. Pada awal kaki mula-mula melangkah di bumi Jerman ini.

Mengapa aku seolahnya sudah berubah? Fikiranku laju menuding salah pada faktor luar.

Universiti. Subjek-subjek di kelas, banyak mempengaruhi cara fikir aku. Kelas-kelas yang namanya seolah kering dan membosankan bagi banyak pelajar kejuruteraan, tapi tidak bagi aku. Kelas Perakaunan, Business Economics, Marketing, Political Economy, Manufacturing Economy, Cost and Performance Calculation (yang aku terjemah bulat-bulat dari perkataan jermannya iaitu Buchfuhrung und Bilanzierung, ABWL, Marketing, VWL, Fertigungswirtschaft, dan Kosten und Leistungsrechnung) banyak membuka cara pandang baru dan mengajar aku tentang realiti dunia hari ini. Atau lebih tepat, dunia kapitalis hari ini.

Di kelas Marketing, aku belajar, bagaimana banyak benda dimanipulasi hanya semata mahu menarik perhatian pembeli. Manipulasi naluri dan psikologi manusia, untuk melariskan produk. Juga beberapa strategi yang pada pandangan aku kelihatan tidak beretika tetapi tidak salah dalam dunia perniagaan.

Di kelas KLR bilamana Prof Schorb sesekali memetik isu semasa di kelas. Antaranya pernah disebut di kelas, harga minyak yang dibayar dipecah dua, satu memang harga minyak itu ditambah cukai, satu lagi dibayar terus kepada pihak cari gali minyak. Namun katanya mengapa pula bayaran kedua itu masih dikira 19% cukai? Ke mana perginya duit itu?

Prof Tritschler pula semasa kelas Buchfuhrung, entah bagaimana projek Stuttgart 21 dan Berlin Flughafen dipetik di kelas. Di Stuttgart, projek keretapi mega. Di Berlin pula projek lapangan terbang. Yang kedua-duanya penuh spekulasi. Di kelas hari itu, bertalu-talu juga soalan dilempar dari pelajar-pelajar menzahirkan rasa tidak puas hati. Aku kurang faham di kelas. Lalu aku cuba buat carian di internet berkenaan dua isu ini. Alangkah terkejutnya aku bilamana negara yang terkenal dengan ketelusannya dalam mengendalikan projek, juga punya masalah korupsi dalam 2 projek mega sebegini. Stuttgart 21 yang dijadualkan untuk siap pada tahun yang ditetapkan dan kos yang ditetapkan, kini kosnya makin lama makin bertambah. Dan tarikh sebenar patut siap pula memang bakal bertangguh. Berlin Flughafen lebih teruk. Sepatutnya dibuka beberapa tahun dahulu, kini terpaksa ditangguhkan atas sebab jurutera yang bertanggungjawab mereka 'fire-alarm-system' rupa-rupanya jurutera palsu. Jadi seluruh sistem itu perlu direka semual dari awal kerana tidak berfungsi. Isu korupsi, pengurusan yang bermasalah, menjadi faktor utama.

Banyak lagi input-input dari kelas lain. Tapi buat masa ini biarlah ini dahulu.
Cumanya yang aku mahu sampaikan, input-input inilah yang banyak menerbitkan pandangan-pandangan skeptik aku terhadap banyak benda. Dunia yang serba kompleks ini, sudah jarang hanya aku pandang dari lapis pertamanya. Entah sejak bila apa sahaja isu, perkara, idea yang dihadapkan ke muka aku, otak aku mereka-reka banyak persoalan-persoalan lain yang boleh beri jawapan yang tidak akan dapat aku peroleh pada kilasan pandang pertama. Aku mahu pergi ke lapis-lapis seterusnya. Kerana fikir aku, ruang manipulasi, sentiasa wujud. Selalu wujud.

contoh soalan-soalan yang biasa aku reka.


Jujur, aku masih ada banyak idea yang mahu dilakukan. Mahu mengkaji, menggali khazanah di perpustakaan sini, sebagai contoh. Tapi apalah gunanya idea andai tiada orang untuk menggerakkan. Aku juga selalu beralasan aku tidak suka berbuat sesuatu secara seorang. Alasan aku mudah, manusia itu makhluk sosial. Mana mungkin boleh hidup seorang-seorang. Sekarang ini aku masih mencuba. Mencari-cari rakan Malaysia yang punya 'passion' yang sama. Kerana sungguh aku tidak suka kalaupun sudah berjumpa rakan, aku pula yang berlagak 'bossy' dan mengarah-arah. Jujur aku sangat tidak suka.

Rakan Malaysia. Mengapa mesti rakan Malaysia? Bukan aku tidak punya kawan-kawan dari negara lain. Tapi, terasa lain intipati perbualan antara dua ini jauh beza. Aku rasa barangkali atas 'mindset' aku yang mahu fokus menyumbang untuk Malaysia sejurus pulang ke Malaysia, aku jadi lebih cenderung untuk memahami pemikiran warga Malaysia itu sendiri atas sebab aku mahu cari sisi seimbang. Tidak mahu nanti aku cumalah idealistik dengan idea-idea yang sekadar menciplak bulat-bulat dari apa-apa budaya atau sistem luar yang nantinya tidak kena pula dengan Malaysia untuk diimplementasi atas kekurangan faham aku terhadap situasi Malaysia.

Namun, adakah aku hanya menabur alasan?
Fikiran kembali mengingat beberapa pertemuan dan isi perbualan bersama kenalan juga 'strangers' yang terjumpa secara kebetulan.


Lelaki sekitar umur 30-an yang aku jumpa beberapa kali di dalam bas di hentian Zundhutle. Dengan basikal hitamnya di sisi. Katanya dia dari Algeria. Mula-mula menegur aku bilamana nampak aku sedang membaca di dalam bas. Katanya bekerja dalam bidang 'software'. Kini sedang obses dengan apa-apa yang berkaitan dengan Jepun dan sedang mengikuti kelas bahasa Jepun. Aku masih ingat lagi butir perbualan awal, yang dia menyebut, dalam Quran sendiri, ayat pertama perintahnya adalah untuk baca. Sarannya agar aku banyak membaca. Sambil dirinya menzahirkan kekecewaan mengatakan negara dari tempat dia datang, budaya ini tiada. Cadangan buku dari nya untuk membaca novel bertajuk Shogun. Itu perbualan pertama. Kali kedua terserempak, ketika isu MH370 baru sahaja naik. Nampak sahaja aku, terus bertanya, adakah semuanya ok, macam mana Malaysia. Mengharukan. Emailnya, kini masih ada dalam simpanan aku. Namun tidak pernah aku menghubunginya. Kini setelah berpindah rumah, stesen itu tidak lagi aku kunjungi. Dia pun sudah tidak pernah aku jumpa lagi.

Perempuan Jerman sekitar usia 50 tahun aku kirakan yang sempat aku bertemu di Masjid An-Nur pada pagi hari sambutan Aidil Adha, 5 Oktober 2014. Ibu kepada seorang 'revert', anak perempuannya. Memenuhi jemputan anaknya untuk melawat masjid. Katanya serba baru pengalaman itu. Pertama kali melawat masjid meski anaknya sudah 12 tahun memeluk Islam. Banyak aku bualkan dengannya. Dapat tahu bahawa dia dahulu semasa kecil belajar di Jerman Timur, maknanya di bawah pemerintahan USSR sebelum Jerman Timur dan Barat bersatu pada tahun 1990. Ada bualan sekitar pengalaman, tanya-jawab berkenaan ahli falsafah Jerman, juga persoalan ketuhanan. Ada juga dia ceritakan pada aku beza gagasan idea Stalin dan Lenin. Mengujakan. Emailnya juga ada dalam simpanan aku. Juga tidak pernah aku berhubung dengannya selepas itu.

Rakan Turki, Hatice namanya yang sama jurusan dengan aku. Sabtu lepas baru sahaja sama-sama berkunjung ke rumah kawan Kirgistan yang membuat jamuan makan. Baru aku tahu rupa-rupanya dia sukakan sajak-sajak Jalaludin Rumi. Juga kakaknya tinggal di Konya, Turki.

Rakan Jerman, Elena antara kenalan yang agak rapat juga di Uni. Dari dia banyak aku berbual-bual soal pengalaman dan sekadar bercerita. Mungkin atas sebab aku kurang fasih berbahasa Jerman, aku kurang bercakap dan lebih banyak mendengar. Itupun biasa sahaja ada yang aku tak dapat tangkap. Rakan yang banyak aku bertanya soal pelajaran, juga aku suka kalau dia betulkan bual bicara aku bilamana tatabahasaku salah.

Lalu aku fikir, adakah aku ini selalu sahaja cemburu dengan apa yang aku tidak ada, yang jauh dari aku, sampaikan yang dekat aku tak hargai? Hubungan yang agak terbatas dengan komuniti di sini, atas salah aku sendiri. Di Universiti aku suka duduk seorang-seorang. Alasanku, aku rasa aku lebih mudah fokus di kuliah. Rakan-rakan lain pula, jarang-jarang juga aku 'reach-out'. Pakcik Algeria dan Makcik yang jumpa di masjid dahulu, entah apa khabar mereka agaknya. Meski singkat tempoh berbual, 'blend-in' dalam komuniti di sini, banyak sahaja input yang aku dapat. Apa pula kalau aku benar-benar gigih menjaga hubungan? Barangkali lebih banyak mampu aku belajar. Sampai bila mahu beralasan tidak petah berbahasa Jerman? Sampai bila mahu beralasan segan sebab semua kena buat seorang-seorang?

Sampai bila mahu beralasan Feezo?

Makin meningkat dewasa, makin banyak tahu dan makin bertambah ilmu.
Tapi adakah makin bertambah baik? Adakah ilmu yang diperoleh, bertambah berkatnya?

Keresahan yang ini, entah bila akan terus diresahkan.

Dan soalan yang sama, yang pernah beberapa kali aku soalkan pada diri aku. Dan aku katakan pada kau. Mengapa agaknya aku dihantar ke bumi Jerman ini? Hinggalah sekarang, aku masih mencari-cari hikmahnya.

Semoga Tuhan tunjukkan. Kerana aku percaya, mencari hikmah, umpamanya mencari ketenangan.

Untuk Brunsfield, semoga baik-baik sahaja. Maaflah banyak pula membebel di sini. Dan barangkali banyak sahaja persoalan yang sama telah aku lemparkan pada kau dalam perbualan kita. Cuma aku mahu kau tahu, aku sangat hargai segala titipan nasihat dari kau. Tegur-tegurlah aku bila aku tersalah sahabat. Siapa sahaja di sini yang ada untuk ingat-ingatkan aku bila tersalah. Juga, jangan lupakan kiriman doa buatku sahabat.

Subjek Marketing dan Statistik memanggil-manggil untuk helaian nota dibuka dan ditelaah. Salam sayang buatmu. Moga sentiasa optimis seperti kau yang dulu. Moga tidak terkena tempias negativisme dari aku.


pemandangan dari tingkap bilik. sejuk salji selalu buat aku rasa bermalas-malasan.
juga, rasa sunyi.

Ps: Untuk Cairo, kalau kau baca, nak request satu warkah untuk kau tulis buat aku boleh? Hehe.


31.12.2014.
Karlsruhe.
Bandar kelahiran Oliver Kahn.

Friday, 26 December 2014

World's Most Valuable Brands


Kelas BWL (business economics) semasa semester pertama, beberapa kali Prof. Bleiweis menyebut tentang jenama termahal dunia adalah Coca Cola. Juga semasa Akademischer Tag (Hari Akademik) tahun lepas semasa Prof. Ewert membentangkan tajuk tentang jenama. Juga jenama Coca Cola menjadi antara highlight sesi diskusi. Siapa sangka sebotol air minuman bergas ini yang cuma sekitar seringgit dua, jenamanya jauh lebih bernilai dari jenama-jenama mewah dan gah seperti BMW, Louis Vuitton, Audi?

Dan sejak itu, aku sentiasa percaya, tempat no 1 itu akan kekal lama. Kerana keuntungan maksima akan dapat dicapai bergantung kepada tahap ketercapaian produk kepada pengguna. Di mana Coca Cola, boleh mencapai semua orang tanpa mengira tahap status sosial. Berbeza dengan produk-produk mewah.

Kerana percaya, yakin saja aku bersembang dengan Fatin Aqilah tempohhari semasa berkunjung ke Mannheim. Sengaja aku tanya, "Kau tau tak jenama apa paling mahal dalam dunia? Cuba teka?" dan dia tak mampu jawab, lalu pantas aku jawab Coca Cola. Dan aku Google on the spot sekadar mahu tunjuk bukti padanya.

Forbes.com;
Dan, gambar di bawah, terpapar jelas. Alangkah terkejutnya aku. Coca Cola yang selama ini 13 tahun berturut-turut di tangga satu, kini jatuh ke tangga keempat(!). Dengan kedudukan pertama dalam ranking mendahului nilai Coca Cola lebih 100%(!). Tambah lagi, 4 dari 5 kedudukan teratas, didominasi oleh jenama-jenama dari kategori Teknologi.




Aku tersentak.

Digital age is getting much real right now.

Mungkin bagi orang lain, tidak ada apa yang mengejutkan dengan perkara ini.
It is simply obvious. And inevitable.

Tapi, sedikit bacaan buku dari Neil Postman, apa yang aku belajar dari subjek Marketing di Uni, sesi talk Shaykh Hamza Yusuf, juga beberapa dokumentari yang ditonton kebelakangan ini, semakin menyerabutkan fikiran. Betapa pengguna, kita, sebenarnya berbelanja jauh lebih banyak untuk sesuatu produk yang nilai kosnya jauh berbeza dengan wang yang kita bayar.

Tetapi, kita tak perasan.
We are oblivious about it.

Dan mereka, terus-menerus mengaut keuntungan jutaan dan berbilion.

Atas ketidaksedaran kita.

Atau ketidakpedulian kita?
______________________________________

Aku patut try baca buku Brand New World oleh Aldous Huxley untuk tambahkan lagi insights pasal isu ni.

Ps: Saja nak bagitau, tulisan ni sekadar highlight sekadar isu kepenggunaan, konsumerisme, dan nilai jenama. Tak tau kenapa sejak dua menjak ni, bilamana jenama-jenama target boikot, (contoh dalam ni Coca Cola), disebut dalam sesuatu tulisan yang tak ada kaitan langsung dengan pemboikotan atau kekejaman Israel ada sahaja, maaf saya label; 'so-called islamists', akan beri maklum balas macam; " jenama X ni bukan kena boikot ke?" atau; "Memang tak baguss, sebab dia produk Israel!(dengan nada emo, atau sarkastik). Kadang-kadang, bincang pasal efek produk shampu, pasal bahan apa terbaik untuk buat kek; tetiba takde angin bertiup takde apa, nak emo pasal isu boikot. Dude, apa kaitan? This and that are two completely different things. Takyah nak paranoid sangat. It is a good cause, and you do have a right to spread the awareness. But please. Please pick the right time, the right audience, and the right way to say it. Please. Or else, you are simply gonna make people feel uncomfortable and make them feel like they had committed a huge sin. So, please.
Sekadar berkongsi pengalaman peribadi berkenaan hal ini. Juga hasil bualan dengan beberapa orang kawan rapat.

Mungkinkah anda juga punya pengalaman yang sama?

[Catatan di Facebook bertarikh 13 Disember 2014]

Saturday, 23 August 2014

Ulasan Buku: Islam, Songkok & Bahasa



Buku ini dibeli sekitar 2 minggu yang lalu. Faktor penarik utama kenapa buku ini dibeli sudah tentu kerana tajuknya yang aku fikir, punya maksud yang mendalam, juga caption; Awasi Rasa Ghairah yang Boleh Membunuh. Bacaan kini masih belum tamat. Baru nak masuk separuh.

Pada awalnya, aku fikir, bacaan dari buku ini barangkali boleh membawa aku untuk memahami realiti hidup masyarakat Melayu-Muslim di Singapura yang selama ini tidak pernah pula aku tahu akannya. Yang aku tahu, cuma sebilangan masyarakatnya yang mempercayai cerita-cerita hantu dan kepercayaan mistik merujuk bacaan aku dari True Singapore Ghost Stories(yang semestinya tidak ilmiah) yang sangat aku gemari semasa di menengah rendah dahulu. Yalah, buat modal untuk bercerita bilamana gathering cerita hantu dengan kawan-kawan. *ketawa*

Berbalik kembali kepada ulasan buku. Niat utama, hanya mahu tahu apa agaknya beza bilamana berada dalam kelompok minoriti bukan majoriti, namun alangkah terkejutnya diri ini bilamana helaian demi helaian buku dibelek, sebegitu banyak sekali isu yang diutarakan oleh penulis, rupanya turut mencerminkan realiti masyarakat Melayu-Muslim di Malaysia. Dari isu kepentingan ilmu, profil orang Melayu, kritik terhadap penganjuran majlis-majlis keagamaan, masalah sosial dalam kalangan remaja muslim, dll. Sekian lama kita tahu bahawa di Singapura, rakyatnya yang berbangsa Melayu dan muslim adalah minoriti dan sebaliknya pula di Malaysia. Yang buat aku terfikir sepanjang membaca, rupanya, masalah kita bukan pada minoriti atau majoritinya kita. Tapi pada sikap kita sendiri. Pada sikap Melayu-Muslim secara khusus, dan Muslim itu sendiri secara umum.

Buat makluman semua, buku ini adalah himpunan artikel penulis, Maarof Salleh, yang pernah tersiar dalam Berita Harian Singapura. Sesuatu yang menarik adalah bacaan yang sudahpun saya baca setakat muka ke 128 ini hanyalah artikel yang bertarikh Januari 2006 hingga April 2007. Kalau mahu dikira logik, boleh dikatakan isinya barangkali outdated, tapi ternyata tulisannya cukup relevan untuk dibaca meski sudah berusia 8 tahun.

Bagi rakan-rakan yang lebih cenderung bahan bacaan yang berat, barangkali buku ini kurang memenuhi citarasa anda. Namun, buat yang mahu bacaan yang agak ringan tetapi tetap sarat dengan input baharu, ingin sekali saya cadangkan kalian untuk membaca buku ini. Tulisannya lebih bersifat objektif, tidak seperti gaya tulisan Ustaz Hasrizal Jamil namun masih sedap dibaca. Penulis juga saya kirakan luas pembacaannya. Adakalanya beliau memetik kata Syed Hussein al-Attas, kadang Profesor Ungku Aziz, serba sedikit sejarah Mahatma Gandhi, pengaruh faham Machiavelli, dll. Menarik dan bijak sekali semua ini diadun dan disesuaikan dalam petikan artikel beliau.

ps: sekiranya anda tidak mahu membelinya, kalau-kalau terjumpa di kedai buku, saya sarankan untuk baca 2 artikel ini. Pendek sahaja dan tidak makan banyak masa untuk hadam.
1) Isu 21: Bahasa, Songkok dan Agama Islam.
2) Isu 23: Berfikiran Rasional Dalam Menanggapi Isu Agama.
Membaca 2 artikel ini, kalau tidak pada anda tetapi sekurang-kurangnya pada saya, ia banyak membawa saya untuk befikir tentang Malaysia. Isu yang pernah dan masih saya fikirkan. Entah kan bila kan ketemu solusinya.

Makanya, selamat membaca!
Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

Friday, 23 May 2014

Profesor Bleiweis. Profesor Subjek BWL(Business Economics)


Rabu lepas, semasa Akademischer Tag, aku hadir ke pembentangan oleh Herr Bleiweis iaitu lecturer BWL aku pada tahun lepas. Aku punya satu soalan, tapi tak berani nak bertanya semasa diskusi. Lalu Ahad lepas aku menghantar satu email untuk bertanya. Dan jawapan balasnya pula aku terima pada tengah hari esoknya. Soalan dan jawapan balas adalah seperti berikut:

Bahasa Jerman:
Sehr geehrte Herr Bleiweis.

Letzte Mittwoch, war ich bei Ihre Veranstaltung, "Warum denken wir oft zu kompliziert." Eigentlich habe ich kurz eine Frage dazu. Ich habe ein Buch ueber Denken gelesen und das Titel ist 'Die Kunst des klaren Denkens' bei Rolf Dobelli. (und natuerlich habe ich die englische Version gelesen, The Art of Thinking Clearly.)
Meine Frage ist, beim Lesen dieses Buch, habe ich schon viele Denkfehlern gelernt. Aber trotz mache ich immer wieder die Denkfehlern unbewusst, die ich schon kenne. Was sind die Grunde dafuer eigentlich in Ihre Meinung?

Ich bedanke Ihnen fuer Ihre Bemuehungen.

Viele Gruesse.

Sehr geehrte Frau Putri Nurfariza,
ja, wenn das alles so einfach wäre ...
Unsere eingeprägten Denkmuster steuern uns ähnlich wie ein Betriebssystem einen Rechner. Das läuft quasi "automatisch", also im Unterbewusstsein ab. Das ist einerseits sinnvoll, weil wir so nicht ständig über unsere nächsten Handlungsschritte nachdenken müssen - das wäre nämlich sehr aufwändig und kompliziert. Andererseits sorgt dieser Automatismus dafür, dass auch Denkfehler immer wieder ohne aktive Prüfung erneut durchlaufen werden. Hat man einen solchen Fehler bei sich entdeckt und will ihn ändern, bedeutet das, dass man ständig rechtzeitig aktiv in diesen automatischen Ablauf eingreifen muss. Letzteres ist anstrengend, funktioniert nicht immer und schon gar nicht sofort, weil man normalerweise auf "Autopilot" eingestellt ist.

Also, verlieren Sie nicht die Geduld mit sich, es ist ganz normal, dass man eingefahrene Verhaltensweisen nicht sofort, wie auf Knopfdruck ändern oder abstellen kann. Und selbst wenn einem die neue Verhaltensweise dann irgendwann "in Fleisch und Blut übergegangen" ist, kann es trotzdem immer wieder passieren, dass man gelegentlich in alte Denk- und Verhaltensmuster zurückfällt.

Ich wünsche Ihnen viel Erfolg (und Freude!) bei der Arbeit an Ihrer weiteren Persönklichkeitsentwicklung

Prof. Dr. Bleiweis

Bahasa Malaysia:
Encik Bleiweis,

Hari Rabu yang lalu, saya ada menghadiri pembentangan dari Prof yang bertajuk, " Mengapa kita sering berfikir terlalu rumit." Sebenarnya saya ada satu soalan. Saya ada membaca sebuah buku tentang cara berfikir dan tajuknya adalah "The Art of Thinking Clearly" oleh Rolf Dobelli. (Dan sudah tentu saya membaca edisi bahasa Inggerisnya)
Soalan saya adalah, apabila membaca buku ini, banyak jenis-jenis kesilapan dalam berfikir yang saya dapat tahu. Tetapi walaupun saya sudah tahu akannya, saya masih melalukan kesalahan yang sama dalam berfikir secara tidak sedar. Pada pandangan Prof, apa agaknya peneyebab kepada masalah ini?

Cik Putri Nurfariza,

Ya, kalaulah semua perkara sebegitu mudah ...
Corak pemikiran kita mengawal kita sepertimana sistem operasi komputer. Ia berfungsi hampir secara "automatik", iaitu di bawah kesedaran. Dari satu sisi, ia masuk akal, kerana kita tidak sentiasa perlu berfikir tentan langkah tindakan seterusnya - yang akan menjadi sangat memakan masa dan rumit. Dari satu sisi lain pula, automasi ini menyebabkan, cara fikir kita yang salah, untuk sentiasa dilakukan secara berulang-ulang tanpa pemeriksaan baru secara aktif. Jika seseorang itu mendapati apa-apa kesilapan dan mahu mengubahnya, ia bermakna bahawa dia sentiasa perlu campur tangan secara aktif ketika proses automatik ini terjadi. Ini adalah meletihkan, tidak sentiasa berfungsi, dan sudah tentu tidak berlaku secara serta-merta, kerana ia biasanya ditetapkan dalam mode "Auto Pilot".

Jadi, anda jangan hilang sabar dengan itu, ia adalah sangat normal, bahawa tingkah laku dan tabiat seseorang itu tidak boleh segera diubah suai atau ditinggalkan seperti menekan suis. Dan walaupun dalam satu masa cara berfikir dan tingkah laku yang baru dan betul sudah menjadi "darah daging", ia masih boleh berlaku berulang kali bahawa kadang-kadang masih jatuh ke dalam cara berfikir dan corak tingkah laku yang lama.

Saya ingin mengucapkan anda selamat maju jaya(dan kegembiraan(joyfulness)!) dalam perjalanan anda membentuk personaliti diri.
Prof. Dr. Bleiweis.

Tersenyum je baca masa dapat balasan email ini. Tapi sampai sekarang tak balas lagi sebab tak tahu nak reply macam mana.

Saya sangat hormat Prof ini. Orangnya tegas, berpengetahuan luas, tapi masih punya sisi yang sangat merendah diri. Rata-pelajar bidang kejuruteraan tidak suka akan subjek BWL(business economics) tapi beliau menjadikan subjek ini suatu subjek yang sangat menyeronokkan pada pandangan saya. Pandai je masa kelas beliau kait dengan isu semasa, zaman Renaissance, strategi marketing syarikat-syarikat besar macam Coca Cola, Volkswagen, Mediamarkt, Aldi, peri penting menjaga tingkah laku, juga perkongsian pengalaman sewaktu beliau belajar dan bekerja dahulu. Oh, dan Prof inilah semasa tahun lepas bertanya pada aku tentang maksud istilah 'bumiputera' semasa tengah kuliah pada tahun lepas.

Memang Profesor kesayangan.

:)

Tuesday, 20 May 2014

Akademischer Tag [14.05.14]


 Rabu, 14 Mei yang lepas, badan pelajar di fakulti saya iaitu fakulti Wirtschaftwissenschaften (=Economics) ada mengadakan suatu program iaitu Akademischer Tag (=Hari Akademik). Ia adalah program berkala tahunan pada setiap Sommersemester (semester musim panas) dan yang kali ini adalah kali ketiga program ini diadakan. Pertama kali saya menghadirkan diri adalah pada tahun lepas. Juga pada 14 Mei. Sepertimana yang anda boleh lihat di dalam jadual pada gambar, secara ringkasnya program pada hari tersebut menawarkan pelbagai tajuk menarik berkaitan isu semasa bertemakan ekonomi dan kejuruteraan yang disampaikan oleh para profesor fakulti kami sendiri. Yang berbeza pada tahun ini, pelajar sendiri yang mencadangkan tajuk dan dalam masa beberapa minggu sebelum hari program, semua pelajar fakulti kami berhak mengundi tajuk-tajuk yang dicadangkan bagi memutuskan tajuk apa yang bakal dibentangkan oleh para profesor. Demokrasi.



Jadual Akademischer Tag 2014 


Jadual Akademischer Tag 2013

Sesuatu yang agak menyedihkan, kalau itu perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya, adalah bilamana dalam satu-satu masa, 4 sesi diskusi berjalan serentak. Maka jadilah ianya suatu bentuk opportunity cost bilamana diri terpaksa hanya memilih satu dan mengorbankan 3 lagi diskusi yang mungkin juga menarik. Hari yang penuh dilema. Sungguh. Dalam jadual, yang ditanda bulatan hijau adalah sesi diskusi yang telah saya hadiri manakala yang berwarna merah pula yang juga saya ingin pergi tapi apakan daya, diri ini tidak ada skil Kage Bunshin no Jutsu seperti Naruto untuk mengklonkan diri kepada lebih dari satu untuk hadir ke semua diskusi yang disukai. :'(



Diskusi yang saya hadiri, mengikut urutan adalah:
1) Warum denken wir oft zu kompliziert?  = Why do we always think complexly?
   - oleh Prof. Dr. Bleiweis. Profesor kesayangan :) yang mengajar subjek Betriebswirtschaftslehre(Business Economics)
2) Kann Sparen fuer eine Volkswirtschaft gut sein? = Is saving good for economics?
   - oleh Prof. Schmidt. Profesor bagi subjek paling best semester ni, VWL. :D
3) Ökonomie neu denken- Stehen wir vor einem Paradigmenwechsel? = New way of thinking on economics - Are we facing a paradigm shift?
   - oleh Prof. Krämer. Pertama kali mendengar lecture dari beliau. Dan sangat best!
4) Wer reich ist wird reicher, wer arm ist wird ärmer. Warum eigentlich? = Those who are rich are getting richer, and those who are poor are getting poorer. Why is it the case actually?
   - oleh Frau Anselmann. Juga pertama kali dengar lecture dari beliau. Sangat banyak input baru tentang statistik dan data berkenaan status ekonomi semasa Jerman diperoleh dalam sesi ini.
5) Unbegrenztes Wachstum in einer begrenzten Welt / Brauchen wir Wachstum nur im Zinsen zu tilgen? = Unlimited growth in a limited world. Do we need growth only to pay it off back in the form of interest?
   - juga oleh Prof. Schmidt. :)



Profesor Kraemer sedang membentangkan tajuk Paradigm Shift


Kaya makin kaya, miskin makin miskin

Rata-rata tajuk dibentang sekitar 15-20 minit oleh para profesor dan masa selebihnya pula diikuti oleh sesi soal jawab. Satu hari suntuk menadah ilmu yang barangkali rata-ratanya tidak penting untuk peperiksaan akan datang. Tetapi kepuasan intelektual diperoleh bilamana dapat belajar banyak perkara yang baru juga sudut pandang baru dalam menilai sesuatu perkara atau isu, adalah suatu pengalaman paling berharga yang dapat dikutip seharian Akademischer Tag ini. Pengisian yang saya kirakan, jauh lebih penting dari sekadar mengumpul markah yang tinggi dalam peperiksaan.

Suka untuk saya berkongsi ilmu yang diperoleh, namun di sini, tidaklah akan saya kongsikan semuanya. Sekadar yang penting-penting dan relevan sahaja. Terlalu panjang pula nanti.

Dalam diskusi kedua, secara ringkas tajuknya berkisar tentang adakah langkah penjimatan itu sesuatu yang bagus untuk sesebuah masyarakat lakukan. Adakah ia menguntungkan atau merugikan? Semasa hadir ke diskusi ini, mindset saya tentang tajuk ini, mudah. Berjimat membawa maksud, berjimatlah. Less consuming, less spending.Baguslah untuk sesebuah masyarakat. Malang sekali pemikiran saya itu sangat simplistik. Terkejut juga bilamana Prof terangkan maksud Sparen(=penjimatan) itu sendiri ada 5 maksud yang berbeza(!). Dan sama ada baik atau tidak, ia bergantung kepada pendefinisian mana yang kita pilih. Prof hanya menerangkan 2 secara detail, iaitu satu definisi, baik dan satu lagi tidak baik, manakala 3 lagi hanya diberikan maksudnya secara asas sahaja. Saya ingin berkongsi dengan kalian, tapi, sukar benar saya mahu menjelaskannya dalam bahasa Melayu buat masa sekarang. Mungkin lain kali kalau ada yang berminat untuk tahu. Cumanya, mesej yang mahu dikongsikan pada kalian, adalah tentang kepentingan pendefinisian. Dalam banyak hal, kita sering terjun untuk membuat kesimpulan sendiri berdasarkan maklumat yang kita sudah ada. Our own pre-conceived ideas. Yang barangkali masih tidak lengkap. Jadi, dalam pada kita berhujah dengan rakan yang tidak sependapat tentang sesuatu isu, cuba tenangkan diri dahulu, tanya dulu apa pokok pangkal isu, define dahulu stand masing awal-awal. Kerana barangkali anda boleh tersangkut dalam debat yang tidak berkesudahan, hanya kerana anda sangka anda berhujah tentang perkara yang sama, tapi sebenarnya 2 perkara yang jauh berbeza. Completely different definitions, different way of understanding. Jadi, hati-hati. Takut-takut nanti buang masa pula.

Dalam diskusi yang terakhir, bagi saya ia adalah diskusi yang paling menarik walaupun pada ketika itu saya sudah tidak mampu untuk fokus kerana sudah mentally exhausted. Terlalu banyak dapat input baru, dijamu sekian statistik dan data, sudahlah dalam bahasa Jerman yang jargon ekonominya masih banyak yang saya tidak begitu biasa mendengarnya atau barangkali pertama kali tahu akannya. Saya tidak begitu fokus semasa Prof. Schmidt sedang bentang kerana banyak terdapat cara pengiraan matematik yang saya kirakan kompleks dan tidak berapa mampu difahami. Tetapi yang menarik, adalah luahan pandangan dari seorang pelajar sekelas saya sendiri, pelajar lelaki Jerman yang saya tidak kenal namanya apa, namun saya perasan di kelas dia adalah antara pelajar yang aktif bertanya soalan di dalam kelas dan juga seorang yang rajin. Dialah orangnya yang mencadangkan tajuk ini untuk dibincangkan, lalu Prof Schmidt bertanya padanya kenapa tajuk ini yang dipilih?

Lalu jawabnya kurang lebih berdasarkan kefahaman saya;
"Saya tak faham kenapa kita kena sentiasa ke depan dan ke depan. Asyik dengan pembangunan. Kenapa tak boleh ke kita patah balik sikit ke belakang. Slow down sikit. Kita asyik hasilkan produk-produk baru sedang sumber yang kita ada semakin lama semakin berkurang. Nehmen Sie Primark zum Beispiel. Die Leute kaufen immer wieder neue Kleidung und in grosse Anzahl. Warum können wir nicht wenige kaufen und für eine lange Zeit die Kleidung tragen? Wir leben immer im Luxus wenn es gibt Leute die NICHTS habe! Es ist, es ist,,, krank."
(=Cuba awak ambil Primark sebagai contoh. Banyak orang sekarang asyik beli pakaian baru, dan dalam kuantiti yang banyak. Kenapa tak boleh ke kita beli sedikit, dan pakai baju tu dalam tempoh masa yang lama? Kita sentiasa hidup dalam kemewahan, sedangkan ada ramai lagi manusia di luar sana yang hidup dengan tak ada apa-apa! Benda ni, benda ni,,, sakit.)"

Dan ini, dia katakan dengan nada yang emosional. Dan perasaannya, tentang hal ini, sampai kepada kami. Suatu keresahan, kebimbangan, bilamana situasi masyarakat pada hari ini kelihatannya sungguh mementingkan diri bilamana diri hidup senang-lenang tanpa rasa belas kasihan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Dan isu yang kembali timbul, iaitu persoalan jurang miskin-kaya yang kelihatan tiada kesudahan. Kaya makin kaya, miskin makin miskin.

Lalu aku memandang ke wajah Profesor Schmidt. Terserlah pada raut wajahnya kesukaran untuk menjawab soalan sedemikian. Aku juga akur, persoalan yang sekian lama difikirkan oleh para ekonomi, pembuat polisi berkurun lamanya, dan puluhan, ratusan mungkin ribuan saya juga tidak tahu berapa agaknya angka buku yang sudah diterbitkan, namun persoalan ini masih tidak punya jawapannya. Manakan mungkin 3 ke 5 minit jawapan balas mampu menjawab soalan yang sedemikian rumit ini.

Lalu Prof. Schmidt menjawab soalan itu, juga dengan soalan.
Ditanya, "berapa antara kalian tidak perlu gunakan kereta?"
Agak banyak tangan diangkat dari kalangan audiens.
Ditanya lagi, "berapa banyak antara kalian tidak perlu gunakan mesin basuh?"
Kali ini tiada yang mengangkat tangan.
Lalu kata Prof Schmidt, saya cadangkan, kalian tonton video di Youtube, Hans Rosling on Washing Machine. Saya yakin mudah untuk anda carinya. Kemudian tonton.

Itu jawapan dari Prof. Tamat di situ. Tanpa penjelasan lain. Audiens juga kelihatan terpinga-pinga. Saya sendiri tak faham mengapa. Rasa seolah-olah tergantung. Dan Prof seolah lari dari menjawab persoalan ini.

Tapi, syukur terbuka hati ini untuk cari video itu. Dan, walau ia tidak menjawab persoalan yang diajukan, sekurang-kurangnya, ia membuka satu pintu, untuk lebih faham tentang perkara-perkara penting yang berlaku sepanjang kita mengejar pembangunan teknologi. Dan menghargai, perkara-perkara kecil yang barangkali kita terlepas pandang. Jemput juga kalian untuk menonton. Hanya 4 minit. Dan anda pasti(harapnya) akan jatuh hati pada penyampaian Profesor ini. Menarik sekali. Saya juga sangkut mendengar lecture-lecturenya yang lain di Youtube. Sungguh membuka minda. :)

Link video: http://www.youtube.com/watch?v=BZoKfap4g4w

Terima kasih Prof Schmidt kerana memperkenalkan saya pada sosok ini.
Dan semestinya, terima kasih Tuhan.
Kerana Dia jugalah yang mengilhamkan segalanya.
Sebagai pengantara untuk ilmuNya disampaikan pada hambaNya.

Juga seperkara yang menarik, semasa Akademischer Tag ini, bukan sahaja pelajar yang mendengar pembentangan dari Profesor, malahan Profesor juga boleh sama turut serta mendengar. Dan semasa sesi yang ini, Prof Krämer yang membentang tajuk tentang Paradigm Shift on Economics turut sama memberikan buah pandang. Antara serba sedikit yang saya faham berdasarkan tahap keterbatasan kefasihan memahami bahasa Jerman dengan baik, kata Prof Krämer kurang lebihnya begini;
"Perihal tentang persoalan globalisasi dan kemajuan. Kalau kita lihat balik ke belakang, kenderaan contohnya, kita bermula dengan manusia menaiki kerbau, kemudian penciptaan kereta, dan sekarang kita sudah ada Boeing. Semua itu berlaku dengan pantas. Tetapi, selepas Boeing, apa lagi yang ciptaan baru, yang lebih baik yang mampu kita bina? Dan kalau dulu, peningkatan gaji akan membawa kepada peningkatan produktivit bekerja, tetapi dalam 20 tahun kebelakangan ini, gaji semakin meningkat membawa kepada produktivit yang makin berkurang. Dan inilah yang dikatakan oleh Thomas Piketty, seorang ahli ekonomi Perancis, katanya, capital interest meningkat jauh lebih laju dari peningkatan produktiviti.[Dan kemudian beliau quote dari ahli-ahli ekonomi lain pula yang saya tidak familiar nama-namanya, dengan menyatakan setiap dari mereka mempunya pandangan dan hujah yang berbeza berkenaan punca kepada persoalan yang sama, iaitu persoalan Ungleichheit in society(= ketidakadilan dalam masyarakat) Dan harga yang kita terpaksa bayar, adalah Ungleichheit(=ketidakadilan) yang makin melebar. Cukai contohnya, bilamana yang kaya dikenakan cukai melebihi 45% dari pendapatan mereka, maka mereka tidak akan punya motivasi lagi untuk bekerja. Sekiranya anda berminat dengan isu-isu ni, boleh datang jumpa saya dan saya boleh berikan beberapa bahan bacaan tentang ini."

Begitulah sedikit sebanyak buah pandang dari Prof. Krämer. Saya kirakan, barangkali boleh jadi apa yang saya faham ini kurang atau tidak tepat, sekali lagi disebabkan masalah bahasa dan banyak jargon ekonomi. Tapi ini yang semampu saya lakukan dengan mencatat nota semasa diskusi berlangsung. Mohon maaf salah dan silap yang ada.

Soalan saya adalah, adakah anda faham apabila membaca kenyataan dari Prof Krämer tersebut? Secara jujur, saya juga tidak begitu faham. Tetapi, itulah yang menyeronokkan dalam kembara pencarian ilmu ini. Ilmu yang mampu difahami sekilas pandang sekali imbas, sebenarnya secara peribadi bagi saya tidak cukup untuk kita betul-betul mendalami sesuatu jenis ilmu. Kerana hakikat menuntut ilmu, adalah bilamana kita tidak faham, pencarian sebuah faham itulah perjalanan hidup yang bermakna. Dari tidak tahu, kepada lebih tahu, faham, arif dan pakar. At the end of the day, kepuasan pencarian sebuah ilmu bukanlah pada hujungnya iaitu kesampaian diri pada jawapan, namun PROSES menuntut ilmu itu sendiri. Yang penuh dengan keletihan, rasa ingin tahu, berguru, membaca. Yang makin menambah rasa rendah diri pada diri, bilamana hakikat ilmu itu; semakin tahu semakin tidak tahu, benar-benar dihayati dan diselami. Dan kerana itu, suatu perkara yang saya selalu cuba untuk lakukan adalah bilamana diri bertemu dengan persoalan atau sesuatu perkara yang tidak diketahui, baru atau tidak faham langsung, janganlah sewenangnya memori akannya dihapus atau dibakulsampahkan begitu sahaja di kotak memori. Simpan dahulu. Di kotak memori, catatan nota bertulis, dalam phone, Evernote atau apa jua bentuk penyimpanan data. Kerana, apa jua cabang ilmu sekalipun, sentiasa berhubung kait antara satu sama lain. Interconnected. Sekiranya kita cukup rajin dan sabar dalam kembara pencarian ilmu ini, percayalah, akan tiba suatu masa bilamana yang hitam kelam kian menunjukkan sedikit sinar walau masih dalam kesamaran. Yang berserabut, intertwined kian terurai simpulannya. Yang tidak faham, semakin hampir kepada kefahaman. Yang sudah faham pula, barangkali punya satu sisi faham lain yang tidak pula disedari akan kewujudannya setelah sekian. Begitulah dia, magisnya hal ini.

Akhir sekali, yang mahu saya sentuh ada berkenan isu generalisasi dan masalah majoriti Muslim hari ini. Barangkali ini juga suatu bentuk generalisai dari saya sendiri. Makanya, salah dan silap dalam poin-poin yang bakal ditulis ini, mohon tunjukkan. Saya, budak yang baru belajar, juga anak muda yang sifatnya seakan mahu sentiasa mahu menentang arus. Kata mudahnya, jiwa memberontak.
Begini, saya lihat rata-rata pendokong gerakan Islam tidak kiralah dari gerakan manapun, selalu memberi pandangan sebegini lebih kurang;
"Lihatlah Barat. Dengan segala sistem rekaan mereka yang bijak pandai itu. Yang dibangga-banggakan. Kapitalisme yang menindas, soialisme juga begitu. Sedang Islam itu solusi kepada semua permasalahan manusia. Kita kena kembali kepada Islam. Hanya Islam sahaja yang mampu menyelesaikan semua masalah dunia!"

Ya, ini hanya petikan rekaan saya, yang tidak dicopy-paste dari mana-mana sumber. Tapi, mesej yang mahu saya sampaikan, harapnya jelas. Ini, adalah masalah utama yang saya perhatikan yang melanda masyarakat Muslim. Yang sayangkan Islam. Yang mahu lihat Islam kembali dijulang di tempat yang tertinggi. Soalan saya adalah, bagaimana? Anda sentiasa laungkan Barat itu menindas, pentingkan diri, hanya mahu kumpul kekayaan dengan menindas orang miskin. Anda katakan kapitalisme itu menindas. Maka soalan saya, maka apa sistem cadangan dari anda? Ekonomi Islam? Apa sebenarnya ekonomi Islam? Mana dia blueprint perlaksanaan sistem itu? Mana think-tanknya? Semuanya kabur. Kadang kita ini terlalu skeptis terhadap Barat hingga kalau boleh tidak mahu merujuk mereka kepada penyelesaian masalah semasa. Saya, sepanjang-panjang Akademischer Tag ini, suatu perkara yang saya perhatikan adalah, orang Barat inilah yang menganjurkan pelbagai tajuk diskusi yang banyaknya menjurus kepada kritk sistem kapitalisme itu sendiri. Kritikan pada sistem ekonomi semasa pada hari ini. Kerana apa? Kerana mereka ambil peduli. Ambil peduli kepada orang miskin. Permasalahan dunia secara global. Mahu satu solusi yang semakin boleh memberikan keadilan kepada lebih ramai orang. Bantu semampu mungkin. Meski mereka hanya seorang. Seorang pelajar. Seorang profesor. Mereka ambil kisah akan negara mereka secara khusus dan dunia secara amnya. Kerana mereka sendiri akur bahawa sistem kapitalisme ini punya banyak kelemahannya. Tapi ini sistem yang terbaik yang mampu mereka rangka sejak sekian lama mengkaji. Dan orang Islam? Buat apa? Kritik tanpa datangkan solusi? Kritik tanpa faham. Slogan tanpa inti. Untuk apa? Islam kembali dijulang? Islam sebagai world order? Bagaimana?
Sungguh. Saya tidak faham. Dengan sikap.
Sikap kita sendiri. Yang sambil lewa dengan ilmu.
Orang sibuk mengejar ilmu, dituduhnya pula neo-muktazilah. Terlalu mengagungkan akal.
Sikap yang terlalu skeptis. Skeptis yang merugikan.
Dan di penghujung hari, mana wakil masyarakat Islam dalam masalah kebuluran? Kemiskinan? Pencemaran global?
Bukankah Islam itu solusi kepada masalah dunia?

Maaf andai agak emosi. Tapi, itu keresahan yang saya rasai. Dalam satu temph yang agak lama juga. Mohon tunjuk salah silap. Saya budak baru belajar. Teguran, kritikan, dialu-alukan. Terima kasih.

_____________________________________________________________

Dan dengan itu, tamatlah perkongsian seharian ber-Akademischer Tag di University of Applied Science Karlsruhe. Hanya satu hari, namun sebegitu banyak input diperoleh. Alhamdulillah.

Perkongsian ini, adalah sedikit sebanyak yang saya paksakan diri saya untuk menulis moga biar bermanfaat buat semua juga untuk saham diri di alam 'sana'. Sekadar memetik status Shuhaib R-Rumy di Facebook beberapa bulan yang lalu yang dicopy paste dalam simpanan nota;

"Dear friends,

If you managed to attend any events, trips, seminars or anything please share what you got there; the ideas, meaning, knowledge or something that can enlighten our soul and society.

Your photos are meaningless to us.

Regards, me."

Ingin saya simpulkan, sebagai sebuah pesan buat rakan-rakan sahabat-sahabat pencinta ilmu sekalian. Terutama buat yang sedang menuntut ilmu di luar negara. Jika anda seperti saya, melihatkan sebegitu banyak poster majlis ilmu di Malaysia yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan di newsfeed Facebook pasti mewujudkan satu perasaan cemburu dan sedih ya amat. YouthACE, 'Ilmfest, Kuliah oleh Syed Naquib al-Attas, Wacana Tarbiyah Hamka, siri Lepak Maqasid(sekadar menyatakan beberapa dari berpuluh lagi yang ada) yang semestinya sangat menggiurkan. Namun atas keterbatasan geografi, diri sama sekali tidak berpeluang untuk menyertai. Ya, video barangkali akan ada, namun, pengalaman melihat mendengar secara live, lain benar rasanya. Langsung tidak sama.

Makanya, dalam pada kita mencemburui sekian banyak majlis ilmu di tanah air sendiri, atau di mana jua lokaliti yang berbeza dari tempat sendiri, cuba renung dan fikirkan kembali. Agak-agaknya, di lokaliti sendiri, apa agaknya yang barangkali aku terlepas pandang? Majlis ilmu, walau apa jua bentuknya, tetaplah majlis ilmu. Andai tidak ada, mulakanlah dengan kadar kapasiti sendiri. Kadang terlalu asyik mengimpikan yang jauh hinggakan yang didepan mata sendiri seakan tidak kelihatan. Cemburu, sedih itu tidak mengapa. Tapi jangan sampai lupa yang dekat. Yang di Eropah tidak perlu terlalu mencemburui sahabat di negara Arab yang sokmo bertalaqqi. Yang di Malaysia juga sama. Tidak perlu terlalu mencemburui yang di Eropah dapat melihat sendiri sebegitu banyak sejarah peninggalan zaman Renaissance dengan segala kuliah-kuliah ekonomi, falsafah bagai. Kerana kelak, kita juga akan bertemu kembali. Dengan ilmu, pengalaman, cara pandang berbeza, akan tiba masanya nanti kita akan bersinergi. Untuk benar-benar memanfaatkan ilmu yang dikutip dalam usaha untuk membina kembali semula sebuah tamadun. Bukan? Senyum.

Di mana jua anda dicampakkan, pasti punya sebab. Pasti punya hikmah. Dan hikmah itu, menanti untuk dijumpai. Maka, hargailah yang dekat. Jangan nanti, menyesal di kemudian hari.

Sahabat-sahabat, di mana jua anda berada, selamat menuntut ilmu.
IlmuNya yang maha luas ini.

"Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANnya." - Imam Al-Ghazali -


ps: oh dan masa on the way nak balik rumah masa hari Akademischer Tag tu, terserempak dengan Herr Brian(Lecturer kelas bahasa Jerman dahulu semasa di Intec sekarang bekerja di universiti saya.) Sempat sembang-sembang tanya khabar. Rasa macam kat Intec pulak. Hehe. Oh, dan bulan depan Frau Maria pulak akan datang ke sini.

Alhamdulillah.
Bahagia. :)

Friday, 9 May 2014

Kelas Ekonomi, Ilmu dan Isu.

[Tulisan di Fb bertarikh 7 Mei 2014]


Hari ini, tamat bahagian satu subjek Volkswirtschaftslehre(=political economy) iaitu tentang Mikroökonomie(microeconomics). Minggu depan akan masuk kepada bahagian kedua pula iaitu tentang Makroökonomie(macroeconomics). Kelas kegemaran bagi semester ini. Satu-satunya kelas yang aku rasa, bila sampai sahaja masa kelas hampir tamat akan terdetik di fikiran, "Ala,, dah nak habis dah ke kelas.. nak dengar lagi.."

Banyak sebenarnya perkara baru yang aku belajar sepanjang hampir dua bulan mempelajari subjek ini. Seronok, dan sangat membuka perspektif baru. Selain lebih faham konsep-konsep dan terma yang ada dalam dunia perniagaan serta lebih memahami tentang perkembangan serta sistem ekonomi di negara Jerman ini.

Hari ini, aku bertanyakan soalan di dalam kelas. Suatu perkara yang jarang-jarang sekali aku lakukan berbanding menjawab soalan. Takut sebenarnya nak bertanya di dalam kelas. Dengan kehadiran pelajar sekitar 40-50 dalam satu kuliah, bertanyakan soalan sebenarnya satu cabaran. Kalau tidak pada orang lain, bagi aku ia satu cabaran besar. Tambah lagi bahasa Jerman ku tidak begitu lancar. Dan untuk tiba-tiba menyusun ayat dalam otak secepat mungkin dan bertanya on the spot, menambahkan lagi kesukaran. Dan kadang, aku juga takut adakah aku tidak faham kerana tidak faham konsepnya, atau atas sebab bahasanya? Tetapi tadi, entah mengapa aku beranikan diri untuk bertanya di tengah kelas. Berkenaan satu perkara yang sudah 2 kali diulang di dalam kelas. Semalam, dan juga hari ini bilamana Prof. Schmidt mengulang ajar. Dan semalam juga aku bertanya kepada rakan Jermanku, masuk kali ketiga diterangkan. Namun tidak juga aku faham.

Dan kali ini, soalanku, dijawab oleh Prof. Schmidt dengan baik. Akhirnya faham juga aku. Rupanya selama ini 3 kali aku diterangkan, tapi cara penerangan itu rumit tambah dengan kosa kata baru yang aku tidak tahu maksudnya. Juga barangkali laju sangat penerangannya. Namun penerangan ringkas dari Prof. dengan susunan kata yang mudah, menjadikan aku senang memahaminya. Mujur Prof. mengambil kira aku ini Auslaender(foreigner), jadi dia guna bahasa yang mudah-mudah sahaja.

Kadang dalam hidup, kita akan menghadapi fasa-fasa kesukaran dalam memahami sesuatu. Tidak kiralah dalam apa jua subjek, bidang ilmu atau apa jua isu. Tidak faham, sukar dan payah dihadam. Bukan semua perkara boleh difahami sepintas lalu. Dan bukan juga semua perkara boleh difahami dengan satu cara. Dalam kita cuba mendalami sesuatu ilmu, perkara pertama sekali yang perlu kita lakukan, adalah jangan berputus asa pada permulaan pencarian. Tidak faham, cuba lagi. Lagi dan lagi sampai ketemu faham. Kedua, untuk peroleh ilmu, punya cara yang banyak. Dengar, tanya, baca, dan lain-lain. Ketiga, setiap orang punya kelajuan tersendiri dalam cubaan untuk memahami sesuatu perkara. Jangan disangka diri tidak pandai hanya kerana lambat faham berbanding kawan-kawan. You have your own, unique pace. Dan kalau sudah laju, teruskan dengan kelajuan itu. Agar potensi yang ada, digunakan semaksima mungkin. Manusia itu, sememangnya dicipta berbeza-beza. Dan itu sebenarnya suatu perkara istimewa yang diatur Tuhan.





Dan tadi, di kelas, belajar tentang bagaimana sesuatu syarikat menetapkan gaji pekerja(rujuk gambar). Juga apa kesan bilamana kerajaan campur tangan dalam menetapkan Mindestlohn(=tahap gaji minimum). Adakah ia suatu kebaikan atau keburukan? Di sini tidaklah saya mahu menerangkan konsep pengiraan disebaliknya. Namun, apa yang saya mahu kongsikan adalah mesej disebaliknya. Dalam model graf gaji yang dibincangkan tadi, kelihatan ternyata penetapan Mindestlohn akan membawa kebaikan yang lebih besar. Namun, kenyataan itu HANYA betul dalam model yang sedang dibincangkan. Untuk mengatakan sesuatu itu baik dan buruk bukanlah sesuatu yang mudah. Kata Prof. Schmidt, kita perlu lihat pula dari sudut pandang lain, kesannya, faktor-faktor yang mungkin terlibat. Dan banyak lagi data dan informasi yang diperlukan sebelum betul-betul membuat kesimpulan akhir. Dan kesimpulan akhir itu juga barangkali boleh jadi tidak cukup tepat atas sebab informasi yang kita masih gagal untuk peroleh.

Dari kelas ini, sepertimana kelas-kelas dahulu, satu perkara yang konsisten yang ditekankan oleh Prof adalah, untuk sentiasa berhati-hati. Berhati-hati bila memberi pendapat, solusi, atau jawapan kepada sesuatu perkara. Ia semestinya akan mengambil masa untuk kita perhalusi sesuatu buah fikiran untuk sampai kepada jawapan. Namu perkara yang paling penting yang perlu diutamakan bukanlah semata jawapan, tetapi PROSES menuju jawapan.

Dan realiti kini, melihatkan ramai sekali orang yang mahu memberi pandangan berkenaan isu yang timbul. Meski diri, masih banyak yang tidak tahu dan ilmu pula masih kurang. Fakta diragui. Sumber tidak jelas. Bilamana satu-satu isu naik, kadangkala kita terlalu mengikut perasaan untuk menyatakan komentar atau kritikan tanpa asas ilmu. Terus terjun kepada kesimpulan awal. Terus share di media sosial. Mahu dilihat orang seolah diri cakna akan perkembangan semasa. Namun banyak tempangnya dalam penghujahan(kalaupun ada). Besar sekali hikmah dalam firman Tuhan dalam ayat 6 surah Hujurat. Sungguh, banyak perkara di dunia ini, tidak semudah hitam atau putih. Tapi banyak yang kelabu. Yang memerlukan penelitian, kajian, dan proses berfikir.

Untuk menyokong atau membantah, perlu atas dasar ilmu.
Bilamana ilmu dibelakangkan dan emosi diutamakan, sungguh tidak adil untuk kita mengambil pihak secara melulu.
Tidak mengapa untuk tidak mengambil pihak terlebih dahulu. Anda bukan neutral. Bukan juga atas pagar.
Anda cuba untuk setia dengan kebenaran.
Dan kebenaran itu bertunjangkan asas ilmu.

Kerana sungguh, bilamana kita tidak disibukkan dengan ILMU, kita akan disibukkan dengan ISU

Wednesday, 7 May 2014

Suatu Hari di Gereja dan Persoalan Dalam Beragama.

[Tulisan di FB bertarikh 12 Januari 2014]




Semalam, alhamdulillah berpeluang berkunjung ke gereja di Konstanz semasa sesi Stadtführung bersama-sama adik-adik junior yang baru sahaja tiba di Jerman.

Sedang berjalan di dalam gereja melihat ukiran-ukiran dan interior design, pandangan mata tertarik kepada sepasang anak kecil dan ayah yang sedang meneliti patung-patung bersempena peristiwa kelahiran nabi Isa(lihat gambar).

Lalu aku pun mengambil tempat duduk yang agak berhampiran untuk memerhati dengan lebih dekat. Cuba untuk mencuri dengar perbualan, namun oleh kerana kedudukan yang agak jauh, langsung tidak dapat menangkap bual bicara mereka.

Namun dari pemerhatian, dapat dilihat si ayah menuding-nuding jari pada patung-patung di hadapan mereka dan cuba menerangkan kepada anaknya berkenaan figure-figure yang ada. Anaknya pula mengemukakan soalan-soalan kepada si ayah di mana kelihatan dijawab tenang dan ceria oleh si ayah.

Tujuan utama si ayah jelas. Cuba menanamkan dalam diri si anak, tentang peri pentingnya asas kepercayaan agama Kristian. Bila diterangkan sejak dari kecil, dengan logik kanak-kanak, maka mudahlah untuk anak kecil itu tadi untuk berpegang kuat dengan agamanya apabila usia meningkat dewasa kelak.

Lalu aku teringat pada kisah yang pernah dikongsikan oleh seorang Ustaz, berkenaan tentang, penyembahan berhala oleh masyarakat jahiliyyah Arab satu ketika dahulu (rujuk surah Az-Zumar: 3). Tujuan mereka, adalah untuk mencari jalan, untuk taqarrub(dekatkan diri) dengan Tuhan. Bilamana Tuhan itu tidak dapat dilihat, terasa seolah Tuhan itu tiada. Namun bilamana ada patung sembahan, terasa seperti itulah cara mereka untuk mewujudkan 'connection' dengan Tuhan. Terasa Tuhan itu wujud. Dan dekat.

Namun, tanpa kompromi, dalam Islam, penyembahan berhala itu sama sekali haram. Cerita tadi, hanya contoh yang sengaja dipetik, untuk menunjukkan bahawa manusia itu fitrahnya sentiasa mencari-cari alternatif untuk dekat dengan Tuhan. Bukan kerana tidak percaya, tetapi mencari jalan, untuk mengukuhkan kepercayaan yang sudah sedia ada.

Dirakamkam di dalam Quran;
Nabi Allah Musa, meminta untuk melihat Allah.
Nabi Allah Ibrahim, meminta Allah menghidupkan yang telah mati.
Meminta pembuktian, untuk sebuah ketenangan dalam beriman kepada Allah.

Andai dua kisah ini hanya sekadar cerita, pasti Allah tidak akan rakamkan di dalam Quran. Hikmahnya, pasti sangat besar. Untuk kita mengambil iktibar.

Kita, umat akhir zaman yang ternyata tahap keimanannya jauh lebih rendah dari para Nabi.
Sedangkan Nabi itu sendiri meminta pembuktian, apatah lagi kita?

Adakalanya, meniti kehidupan dari hari ke hari, kita didatangi persoalan-persoalan tentang ketuhanan, keimanan atau persoalan rumit tentang agama kita sendiri, yang kadangnya hadir tanpa dipinta dan mengganggu benak fikiran. Usahlah disangka persoalan yang hadir itu sia-sia. Barangkali itu petanda dari Tuhan, untuk kita mendapatkan jawapan dalam pencarian sebuah ketenangan.

"Mempersoalkan keimanan dengan soalan-soalan kritikal ialah sebuah usaha untuk meningkatkan kualiti keimanan kita. Iman itu aman, aman apabila hati tenang terjawab persoalan." - Marwanbukhari.com -


Pesanan buat adik-adik junior; lihatlah yang tersirat pada yang tersurat sepanjang keberadaan di bumi Jerman ini. Kadangnya, sesuatu peristiwa yang kelihatannya seolah insignificant pada pandangan mata kasar, barangkali bila direnung dan difikirkan kembali, banyak sebenarnya yang mahu Allah ajarkan pada kita. Barangkali ada sesuatu yang cuba untuk disampaikan. Barangkali tarbiyyah direct dari Dia. Buat mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran.

Selamat memulakan lembaran hidup yang baru di Jerman. Moga-moga, masa kalian di sini, dimanfaatkan sebaik mungkin insyaAllah.

Monday, 14 April 2014

Review Buku: Bagaimana Menyentuh Hati


Buku ini, saya kirakan antara buku yang wajar tersenarai dalam 'must-read-book' oleh mereka yang merasakan diri adalah seorang da'ie.

Bertepatan dengan mesej dari video Mat Luthfi, Sebelah Sayap, buku ini banyak mengajak kita untuk berfikir kembali apakah pendekatan yang seharusnya seorang da'ie ambil bagi memenangi hati mad'u. Berhikmah tidak semestinya berlemah-lembut, tetapi membawa maksud hendaklah bijak menangani sesuatu masalah dengan mengambil kira aspek situasi, kesesuaian masa, kecenderungan mad'u dan juga aspek-aspek lain.

Tugas seorang da'ie hanyalah sebagai seorang perantara mesej Tuhan kepada manusia lain. Allah berfirman,
"Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki-Nya." [Al-Baqarah: 272]

Seorang da'ie, tugasnya bukannya menghukum. Tapi mengajak. Mengajak manusia mengenal Tuhan.

"Para da'ie seharusnya menghindari sikap ekstrem dan berlebih-lebihan dalam persoalan agama. Hendaknya mereka mengajak umat manusia dengan lemah-lembut dan kasih-sayang, sebab sikap berlebih-lebihan dalam agama menyebabkan orang lari dan menjauh dari jalan dakwah." [petikan buku, m/s:246]

"Perlu kiranya saya jelaskan bahawa kepada saudaraku, para da'ie. bahwa dakwah yang bertahap, perlahan-lahan, dan terprogram untuk mencapai hati, -sering memerlukan waktu berbilang bulan dan tahun- bukanlah sesuatu yang tanpa target dan tujuan." [petikan buku, m/s:236]

"Demi Allah! Seseorang yang mendapat hidayah dengan disebabkan kamu lebih baik dari unta merah (puncak harta kekayaan orang arab)."  -Riwayat Imam Al-Bukhari -

Ada Apa Dengan Buku?


Saya baru sahaja bermula untuk membaca buku secara serius. Dahulu, dari zaman sekolah rendah hinggalah ke zaman kolej persediaan, saya pembaca manga jepun tegar. Juga peminat anime. Juga berjinak-jinak dengan videogames sejak 3 tahun yang lalu. Otaku through and through lah senang cakap.

Dan awal tahun lalu, saya mula dapat kesedaran untuk membaca bahan bacaan yang lebih berat. Bukan lagi hanya membaca komik dan novel-novel picisan. Benar ia sukar. Bukan mudah untuk membaca buku yang penuh perkataan apabila otak sudah terbiasa diberi gambaran grafik dan visual.

Kerana apa? Kerana saya sedar saya sudah ketinggalan jauh di belakang rakan-rakan lain yang sibuk mengintelektualkan diri. Sedar hakikat bahawa membaca bahan bacaan ringan tidak dapat membantu memberi solusi dalam menyelesai masalah masyarakat. Mana mungkin dengan membaca komik dan menonton anime mampu menyelesaikan masalah ekonomi, masalah sistem pendidikan negara, masalah sosial secara berstruktur dan strategik. Tak mungkin.

Dan kini, apabila saya mula banyak membaca, ada rakan2 yang berkata begini lebih kurang;
"Macam mana kau boleh baca buku camni eh? Aku tak boleh la.. Aku ada try,, tapi aku tak boleh. Macam susah la, berat sangat nak baca buku macam yang kau baca ni..."

Ya, saya tidak nafikan. Antara punca utama rata-rata anak muda tidak minat membaca, adalah kesan daripada sistem pendidikan kita sendiri. Sistem yang tidak menimbulkan rasa cinta pelajar pada ilmu. Membuatkan pelajar bosan belajar dan peperiksaan menjadi ruang muntahan segala hafalan.

Namun begitu, saya percaya, masih tidak terlewat untuk mula menanam minat membaca dari sekarang. Pada peringkat permulaan, mungkin anda tidak dapat nampak apatah lagi memahami apalah yang best sangat dengan membaca ini. Tapi bila semakin banyak buku yang anda baca, baru anda akan faham. Faham hakikat ilmu Tuhan ini amat luas. Terlalu luas. Dan apa yang lebih memuaskan hati, apabila buku yang anda sedang baca, berkait pula dengan buku yang anda pernah baca sebelum ini, berkait pula dengan isu yang itu, diskusi hari itu. Sukar untuk saya terangkan di sini. Tapi saya percaya orang yang banyak membaca pasti akan dapat tangkap maksud saya. Bila mana dengan semakin bertambah buku yang dibaca, makin luas skop pandangan kita terhadap kehidupan. Dan kita akan dapat melihat sesuatu dari konteks 'the bigger frame'.

Jadi, mulakanlah membaca bahan yang agak berat bagi level anda bermula dari sekarang.
Persoalannya; anda memang tidak mampu, atau anda yang memandang rendah pada kebolehan diri sendiri?
Kalau saya boleh, mengapa anda tidak boleh?
Mulakan. Walau permulaannya mungkin sukar.

ps: Ya. Komik-komik di atas ini adalah harta karun milik saya. Dan ada lagi dua rak yang komiknya lebih kurang sebanyak ini.

Ulangan cabaran; Kalau saya boleh, kenapa anda tak boleh?

Friday, 3 January 2014

Bumi Tarbiyyah Itu.

[Post di Fb bertarikh 11 Januari 2013]

suatu ketika dahulu, pernah terdetik di fikiran. bukan hanya sekadar sekali dua, tapi berkali-kali. kalaupun tidak fly, keberadaan di Intec sudah cukup membahagiakan. benarlah, bumi Intec, bumi tarbiyyah. andai itu yang dicari. ilmu yang dikutip, walaupun belum pada tahap praktikaliti secara total, walau mungkin hanya diguna dalam lingkungan Intec, moga berkekalan. dan moga ada manfaatnya kelak. buat para murabbi, Ustaz Ridha, Kak Ar, Ustaz Affuan, Ustazah Saidah, Ustaz Mior, terima kasih di atas segala ilmu yg dicurahkan. banyak perkara baru yang saya belajar dan yang paling penting cara memandang sesuatu perkara dari perspektif yang lain, dari kalian. sedikit sebanyak, mematangkan pemikiran yang selama ini agak sempit. jzkk. syukran jazilan.
buat rakan2 psc, sahabat2 alm, adik2 stylo circlians, junior2, berkenalan, meluangkan masa bersama kalian semua, sangat menggembirakan. jzkk untuk semuanya. :')

akhir kata, mohon doa semua, agar diri ini istiqamah. teringat kata seorang sahabat pada saat diri ini agak tertekan dengan prestasi akademik, sewaktu peperiksaan A-level bakal menjelang tiba dalam masa beberapa hari. katanya, "feezo, mesti ada sebab kenapa Allah nak hantar ko ke jerman. mesti ada sesuatu yang kau boleh buat kat sana. untuk Islam. so, ko kena study betul-betul bagi lepas!" *lebih kurang la dia cakap macam tu. :)*
buat sahabat yang itu, jzkk. i'll always keep that in mind insyaAllah.

ps: kadang2, rasa kalau boleh sambung terus degree di Intec pun seronok juga. cuma horizon tak berkembang la... hehe.

Solat dan Kelab Catur. :)

[Post di Fb bertarikh 20 April 2013]

Semalam, rutin mingguan lepas jadi official chess club member kat sini, berkunjung ke tempat perjumpaan kelab. Game mula pukul 7.30, & maksimum boleh sampai 4 jam. waktu maghrib pulak masuk dalam pukul 8.30 malam. maknanya, memang wajib solat tengah-tengah game la.

selalunya, tengah2 main, lesap kejap pastu pandai-pandai carik tempat strategik untuk solat. tapi semalam, sebab bilik yang biasa guna tu ada event pulak, kitorang main kat bilik lain. so, sampai-sampai, bawak keluar kompas, tengok arah kiblat, pastu mencari-cari tempat strategik untuk solat.

kalau dulu, main solat je mana-mana dan, tapi kali ni tempat solat tu macam dekat dengan area main chess, jadi, macam tak sopan pulak kalau tak mintak izin. jadi pi lah mintak izin.

Saya: er,, Herr Schroeder. saya ada satu soalan. em, em. saya Muslim. jadi, dalam pukul 8,30, 9 macam tu kena sembahyang. kalau solat kat situ(sambil tunjuk ke arah tempat strategik yang dijumpai tadi) boleh tak..?

Herr Schroeder: oh? solat? kat sana tu? boleh je. patut ke saya bagitahu ahli yang lain? supaya takdela diorang pelik pulak nanti.

Saya: em, em, terpulanglah kat encik. saya tak kisah pun. (+senyuman awkward)

Encik Presiden Kelab yang nama tak ingat la pulak: oh, awak nak solat ye? (sambil merapatkan tapak tangan tunjuk gaya typical Asians sembahyang)

Saya: ha'ah. ye. (again, +senyuman awkward)

beberapa minit lepas tu.

Herr Schroeder: Ok semua. Mintak perhatian kejap. Kejap je. ok, memandangkan kita ada ahli Muslimah(serius dia ckp perkataan muslimah wo. :D), jadi kejap lagi dalam 8.30 macam tu dia nak solat kat situ. jadi, masa tu korang jangan ada kat situlah ye.

Ahli-ahli lain buat *murmuring sounds* (biasalah, semua kan mostly pakcik2. hoho) tapi ada sorang tu cakap distinctive jugak bunyinya: "Kein Problemm,," = no problem.

and I was like, terharu betul! :') aku sorang je pun nak solat tapi betapa understanding dan ambil berat betul diorang ni.

Moga-moga, diri ini dapat menjadi perantara untuk mereka lebih tahu tentang Islam. dan moga-moga, Allah beri hidayah pada mereka.

"Allah memberikan hidayah kepada kepada seseorang melalui perantaraanmu, lebih baik nilainya bagimu, daripada unta merah." - HR Al-Bukhari dan Muslim -

Review Ringkas Buku: Jalan Cinta Para Pejuang

Jalan Cinta Para Pejuang, karya Salim A. Fillah.
Buku ini, saya kirakan buku yang cukup bagus untuk dibaca dan dihadam oleh semua.

Buat anda yang west atau eurocentric seperti saya, membaca bab pertama buku ini sangat menyeronokkan. Cepat sahaja helaian demi helaian kertas dibelek. Dari sejarah ringkas murid dan guru, Sigmund Freud dan Carl Jung, teori model Hierarchy of Needs oleh Abraham Maslow, sedikit kupasan buku The 7 Habits dan The 8th Habit oleh Stephen R. Covey dan juga buku The Tipping Point oleh Malcolm Gladwell hinggalah petikan-petikan karya sastera dunia popular seperti Les Miserables oleh Victor Hugo dan Romeo and Juliet oleh William Shakespeare yang cukup bijak disampaikan oleh penulis dalam menghubungkaitkan isi-isinya dan seterusnya mempamerkan kepada kita bagaimana semua ini dapat kita teliti dan kaji dari perspektif Islam.

Di bab kedua dan ketiga, lebih banyak tertumpu dengan sirah para Nabi dan juga kisah-kisah para sahabat. Jujur, banyak sahaja kisah-kisah yang diceritakan sudah lama didengar sebelum ini. Sudah tahu. Namun, gaya bahasa penulis yang cukup baik dan lancar menceritakan kisah-kisah tersebut membuatkan pembaca kembali berfikir tentang kisah yang sama namun dari sudut pandang yang jauh berbeza. Dan secara tidak langsung, 'rasa' yang diperoleh turut sama lain berbanding saat pertama kali tahu akannya.

Akhir kata, ingin saya memetik satu petikan dari buku ini,

"Jika hidup adalah fungsi waktu, maka bagi seorang mukmin nilai puncaknya harus diraih dalam grafik di ujung kanan. Kematian. Di sanalah harus dicitakan sebuah akhir yang setinggi-tingginya. Apapun yang kau minta, mintalah pada Allah yang tertinggi. Surga pun bertingkatan. Maka mintalah yang paling tinggi. Firdaus. Maka dalam hal mati, ambil pilihan yang tertinggi untuk menjadi cita dan rencana. Syahid. Ah.. Betapa indah dan menggetarkannya satu kata ini."
__________________________________________

Begin with the end in mind. Selamat meniti jalan cinta para pejuang!

Jerman dan Bumiputera: Apa Kaitan?

 [Post di Fb bertarikh 3 Jun 2013]

2 minggu lepas, kelas Allgemeine Betriebswirtschaftslehre (Business Administration and Economics) oleh Prof. Dr. Bleiweis berjalan seperti biasa.

Dan seperti kebiasaan, akan duduk antara tempat paling hadapan semasa kuliah.
Masa tu, tengah bincang tajuk kecil berkenaan Standortvorteile(Advantage of Location) di bawah tajuk Global Sourcing vs. Local Content.

Tiba-tiba, Prof berjalan dekat dengan tempat saya lalu bertanya;
Prof : Sie sind aus Malaysia, oder? // "You're from Malaysia, right?"
Saya : Em.. ja,, // "em,, yes,," *muka cuak sebab first time kena tanya dalam kelas masa kuliah*

Prof: Eigentlich habe ich diese Bumi und Bumiputera Begriffe gelernt, aber bin ich nicht sehr sicher. Konnen Sie mir bitte erklaren was diese Begriffe eigentlich bedeuten? // "Actually i've heard about this Bumi and Bumiputera terms, but I'm not so sure what they mean. Can you explain it to me what these terms actually mean..?"

Saya: Er.. em.. *kadar degupan jantung tak berapa betul sebab tak reti nak explain camna.*
Prof: Ist es zu schwierig zu erklaren? // "Is it hard to explain?"
Saya: Auf Deutsch, ja.. aber ich denke dass ich das auf Englisch besser erklaren kann. // "In German, yes.. But I think that I can explain it better in English."
Prof: So, try to explain it in English.
Saya: This Bumiputera term actually refers to the original people who lives in Malaysia. Normally they're the Malays. Some time later came the Indians and the Chinese. We're all Malaysians, but for these original citizens of Malaysia, they're referred to as Bumiputeras.
Prof: So, they're indigenous? Is it?
Saya: Em,, yeah,, *masa tu taktau sebenarnya indigenous=native. nasib baik la betul jawab ya.*

Lepas tu Prof cerita kat kelas yang kat Malaysia ada satu undang-undang yang pekerja syarikat mesti 60% terdiri dari Bumiputera. *Prof explain aspek allocation pekerja secara umum. tak rujuk GLC, dll.*
Lepas tu ada la discuss, soal jawab. Macam biasa, sesi soal jawab memang tak paham, sebab budak2 jerman ni cakap laju sangat.. (=_=")

Lepas habis explain, Prof cakap dekat saya, "Also, danke fur ihre Erklaerung. Jetzt bin ich sicherer. Vielen Dank." // "So, thanks for your explanation. Now I'm more sure. Thank you very much."
Saya: *senyum sambil tunduk kepala.*

Kelas ada la lebih kurang 50-60 pelajar. Popular Malaysia dalam kelas haritu. hoho.

 
Moral: Sentiasalah bersedia dengan ilmu dan hujjah bila kena, err, ambush(?). Sebenarnya, banyak benda yang kita tak tahu tentang negara kita sebenarnya. Undang-undang, polisi, keadaan ekonomi negara, dll. Macam dalam kisah di atas. Baru tau sebenarnya ada pengagihan macam tu kat Malaysia. Tau daripada orang Jerman pulak tu. *segan betul* Macam mana nak jadi duta macam ni? Tulah. Masa muda-muda sokmo pi layan manga, anime, videogames sapa suruh. Padan muka!

Baru 21 atau Sudah 21?

[Post di Fb bertarikh 30 Jun 2013]

"Aku respek betullah dengan Naruto. Kau tengoklah dia. Masa kecik2, hidup dihina, dicaci. Satu kampung benci dia. Iruka Sensei je yang concern dengan dia. Tapi dia kuat semangat. Rajin belajar jutsu walaupun tak segenius Sasuke. Berbekalkan ketabahan, dia dapat kalahkan Gaara, lepas tu dapat kuasai Rasengan pulak. Hebat betul dia. Dia idola aku!"

"Kurosaki Ichigo. Nampak sahaja seperti delinquent. Tapi, hakikatnya, sangat mempunyai ciri-ciri hero sebenar. Terpaksa tiba-tiba menjadi shinigami bidan terjun untuk menyelamatkan orang awam daripada menjadi mangsa Hollow. Skil bertarung tak ingat punya pergh. Ichigo dan Zangetsunya. Dah la dapat master Bankai dalam masa 3 hari je. Dasyat!"

"Ezio Auditore da Firenze pun apa kurang hebatnya. Dia lawan Templars atas dasar nak tuntut bela atas kematian ahli keluarga dia. Lawan dah la guna Hidden Blades. Tak ingat dunia punya style. Italian accent dia pulak punyalah stylo gila."

Dan bila diceritakan tentang sirah Nabi-nabi, kisah sahabat-sahabat, kronologi peperangan Islam, kau keliru sendiri. Lambat otak nak menangkap. Sukar untuk mengingat nama tokoh-tokoh Islam. Apatah lagi mengingat tarikh-tarikh penting dalam sejarah Islam. Kegagahan tentera Islam berperang pada satu ketika dahulu, telah dikaburi dengan cantiknya CGI(Computer Generated Image) anime aksi bergenre Shounen yang engkau tonton hari ini. Kau susah nak ingat peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam, sedang kau mampu lancar sahaja menceritakan kembali setiap satu arc yang telah Luffy dan rakan-rakannya tempuhi dalam kembara mereka menuju Grand Line untuk mendapatkan One Piece. Kau selalu tercampur-aduk sikap, personaliti dan ciri-ciri istimewa para sahabat Nabi, sedang watak-watak sampingan di dalam komik pun, kau mampu beri full description.

Ya, mungkin ada yang akan defend begini; "Baca komik, anime, layan game banyak kot benefit dia. Boleh belajar nilai persahabatan, nilai perjuangan. Dapat belajar gak psikologi manusia sikit-sikit. Dan videogame pulak, siap dah terbukti secara saintifik dapat enhance spatial ability and increase hand-eye coordination. Kau ni, paranoid sangat.."
Ya, dan saya sendiri selalu sahaja gunakan hujah yang sama tidak lama dahulu. Kerana, manusia secara lumrahnya, akan defend apa yang dia suka. Apatah lagi sesuatu yang saangat disukai sejak sekian lama. Sejak zaman kanak-kanak lagi. Ada nilai sentimental.

Namun, berapa percent sangat benefitnya? Baca komik berjam-jam. Anime lagi. Videogames lebih bahaya. Untuk completekan satu story mungkin sahaja menelan masa berpuluh jam. Adakah berbaloi nilai benefit yang sekelumit cuma andai mahu dibanding dengan jumlah masa yang diperuntukkan? Dan lebih buruk lagi, bila mana cerita-cerita rekaan manusia yang lebih kita agung-agungkan lebih daripada sejarah sebenar peradaban manusia. Seolah-olah merealitikan fantasi dan menafikan realiti.

Nilai usia 21. Dari 2 pandangan berbeza.
"Baru 21. Lek ah. Malam masih muda. Lek sap kok lu."
"Allah. Dah 21. Sekejap je dah sampai usia ni. Macam mana ni? Main kemain banyak, ilmu dah la banyak lagi tak tau. Masa dah tak banyak.."

Saya, anda, kita; yang mana satu menjadi pegangan?

Maybe it is time. Time to let go. Something or things that we really love and hold dearly in our hearts. To stop completely, maybe it is near impossible. But, bit by bit, step by step, one by one, it is possible.

If you believe you can, you can. Believe in yourself.

Dan ya, post ini ditujukan kepada para otaku seperti saya sendiri. Kalau takat layan gitu-gitu je, tak ada efek sangat. Benda ni yang parahnya bila dah suka sangat. Bila dah terlalu cinta.

Sembang Kopi Anak Muda Ipoh

[Post di Fb bertarikh 19 Ogos 2013]

Jumaat lepas, alhamdulillah berkesempatan untuk menghadiri Sembang Kopi Anak Muda yang julung2 kali diadakan di Ipoh yang membincangkan tajuk "Pendidikan Awam: Pendoktrinan atau Daya Fikir?".





Ini adalah program pertama anjuran Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) yang saya hadiri. Selama ni cuma tengok sikit2 ja kuliah depa kat Youtube dan baca sikit2 penulisan kru mereka di laman fb UTAM.

Pengalaman hadir ke diskusi ini merupakan sesuatu yang sangat baru pada saya sendiri. Mendengar secara live depan mata dari pembentang, Muhammad al-Mahdi Abdullah sendiri adalah jauh berbeza dari mendengar rakaman. Kurang distraction, jadi senang nak fokus. Dan oleh sebab tidak ramai yang hadir (yang faktor utama nya pada pandangan peribadi adalah sebab venue tempat adalah McD. faktor lain tak pikir la pulak.), maka setiap yang hadir tak dapat lari dari mengutarakan pandangan masing2.

Dalam perbincangan pada malam tu yang mengambil masa kurang lebih 2 jam, kami bermula dengan pembentang menerangkan definisi tajuk dan kemudiannya disusuli dgn beberapa poin kelemahan yang ada pada sistem pendidikan secara umum. Kemudian ada sesi soal jawab dan round table bagi sesiapa yang punya solusi bagi memperbaik sistem pendidikan awam Malaysia. Saya tidak ingin menjelaskan secara panjang apa yang kami bincangkan, cuma di sini saya ingin menulis pandangan saya sebagai orang awam yang pertama kali menghadiri diskusi intelektual jalanan seperti ini.

Sepanjang diskusi berlangsung, antara perkara menarik yang saya dapat perhatikan adalah setiap orang yang hadir punyai idea yang berbeza-beza yang sy yakin dibentuk dari bahan bacaan dan juga sejarah hidup masing2. Setiap orang bebas untuk mengutarakan pandangan atau membidas mana2 pandangan orang lain yang dirasakan tidak tepat dengan hujah2 konkrit. Yang saya kagum ialah, walaupun ada perbezaan pendapat, sedikit argument, namun diskusi masih dapat berjalan lancar tanpa ada sentimen atau terlalu emosi.

Dan satu perkara lagi yang saya dapat perhatikan; sangat berbeza sekali pandangan orang yang banyak membaca dan berteori dengan orang yang punya pengalaman turun sendiri ke lapangan masyarakat dan merasai sendiri realiti sistem yang ada pada hari ini. Idealistik vs realistik. Atau mungkin juga optimistik vs pesimistik. Mungkin.

Dan ini membuatkan saya teringat pada Intec. Bumi tarbiyyah itu.
Pernah suatu masa saya keliru sendiri. Tak faham kenapa topik 'Adab Berbeza Pendapat' selalu diulang-ulang. Selalu fikir macam ni, "Laa, tajuk ni lagi? Takde tajuk lain ke yang kritikal sikit? Asyik2 tajuk sama. Dah tahula. Boring la camni dengar benda sama je." Hanya keluhan dalam hati sahaja. Mana berani nak suarakan pendapat masa tu.

Dan sekarang, selepas 8 bulan meninggalkan Intec, baru faham kenapa.
Dulu, kau cuma lepak dengan geng sefikrah kau. Semua idea lebih kurang sama, kecenderungan sama, sudut pandangan sama. Memang kau tak nampak mana tah role adab berbeza pendapat ni. Tapi lepas jumpa dengan bermacam jenis orang yang punya pelbagai jenis fikrah, baru faham kepentingannya. Baru betul-betul faham.

Tak semua orang berfikir macam kau. Tak semua orang dapat pendekatan macam kau. Nak berjuang, ada banyak jalan. Ada banyak pintu masuknya. Ada yang dapat dari kesedaran sendiri hasil bacaan, ada yang dapat setelah merasai manisnya ukhwah, ada yang dapat melalui kesedaran politik. Setiap manusia berbeza. Maka apa hak engkau untuk menuduh tanpa bukti dan fakta yang valid yang kau sahaja yang betul dan mereka yang lain dari kau salah?

Berhujah, biar dengan fakta.
Mengkritik, biar adil.
Ego, campak jauh2 apabila berbicara dengan mereka yang berbeza fikrah.
Andai benar mahu mencari solusi dan menegakkan kebenaran, biarlah rasional dan berfakta.
Andai benar berjuang, dahulukanlah lapang dada dari sangka buruk.

It's okay to agree to disagree.
Tapi biar berhemah. Jangan sampai tergadai ukhuwwah.

ps: Sepanjang diskusi berlangsung, ada masalah inferiority complex sikit bila dengar orang-orang yang punya lebih banyak ilmu dan pengalaman bercakap. Jadi, lebih banyak diam dan mendengar. Moga jadi motivasi untuk tambah ilmu dan perbaiki diri, bukan mendownkan diri. InsyaAllah

Menteri Dan Anak Muda

[Post di Fb bertarikh 8 Disember 2013]

Pernah atau tidak terlintas di fikiran; bahawa, pemimpin hari ini, suatu ketika dahulu, semasa di usia muda, mungkin saja punya cita dan idealisme sepertimana kita anak muda pada hari ini.

Punya niat baik, mahu punya kuasa supaya senang untuk memaju dan membangunkan negara.
Mahu membela nasib orang-orang miskin.
Mahu menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara.
Dan pelbagai lagi matlamat-matlamat mulia yang lain.

Maka dia sewaktu mudanya, cukup gigih berusaha untuk mencapai matlamatnya. Menyertai persatuan itu dan ini. Menjadi aktivis. Dan lain-lain.

Namun, entah peristiwa apa yang berlaku sepanjang perjalanan menuju tampuk kepimpinan itu, hasilnya, segelintir individu yang dahulu pada masa mudanya punya semangat dan cita mulia, seolah bila berada di atas, telah terlupa matlamat asalnya dahulu. Apabila memberi pandangan tentang sesuatu isu rakyat, kadang-kadang seolahnya, rakyat itu, langsung tidak ada tempat di hatinya. Atau apabila memberi buah fikiran mencari solusi sesuatu isu, kadang-kadang buah pandangannya kedengaran tidak logik, tidak profesional hingga membuatkan rakyat sendiri tertanya-tanya entah bagaimana agaknya individu seperti ini layak digelar pemimpin. Adakah kerana sudah terlalu selesa dengan pangkat, harta dan status yang dimiliki? Atau tersalah pegang portfolio?

Dan kita, anak muda pada hari inilah, yang akan menggantikan mereka ini suatu hari nanti.

Anda yang hari ini, mungkin sahaja pelajar jurusan perubatan, atau kejuruteraan, atau pengajian Islam.
Tapi boleh saja, anda nanti, bekerja dalam bidang pengurusan. Menjadi menteri misalnya. Ini tidak mustahil sedang di Malaysia sendiri, bukanlah semua yang berada dalam kabinet merupakan lepasan jurusan sains sosial, sains poilitik dan yang seumpamanya.

Bagaimana agaknya nanti, anda di posisi yang tinggi itu, anda diamanahkan rakyat untuk mentadbir, bilamana isu timbul, dan anda bertanggungjawab untuk menyelesaikannya, senario yang sama berulang. Kerana tindakan@arahan yang tidak relevan dari anda itu, puluhan, ratusan atau mungkin juga ribuan rakyat, terbeban. Kerana anda, rakyat menanggung susah.

Dan semua ini berlaku kerana apa? Kerana kurangnya ilmu.
Di waktu muda inilah masanya untuk mengutip ilmu sebanyak mungkin. Jangan hanya banyak membaca, tapi banyakkan juga bahan bacaan. Kerana permasalahan negara dan dunia, tidak akan mampu diselesaikan dengan hanya 1 bidang ilmu. Benar kepakaran bidang sendiri itu yang paling utama namun itu bukanlah satu alasan untuk langsung tidak ambil tahu bidang-bidang ilmu yang lain.
"If your only tool is a hammer, all your problems will be nail." - Mark Twain -
Jangan berkira-kira untuk mendalami sesuatu bidang ilmu, kerana kita tidak tahu, entah ilmu mana yang kita pelajari hari ini, yang akan betul-betul berguna kelak.

Dan sejarah, akan sentiasa berulang.
Hari ini anda mungkin menolak keras tindakan atau kenyataan dari seseorang menteri, bahkan mungkin mengutuk tindakannya. Namun, hari esok, bagaimana agaknya andai anda yang seorang menteri turut mengulang situasi yang sama?

Untuk melakukan perubahan, tidak cukup dengan hanya memprotes, membangkang dan lain-lain yang bersifat reaktif.
Anda, anak mudalah yang perlu melakukan sesuatu.
Anda sendiri, yang perlu berubah, dan merubah.
Kerana anda, adalah aset harapan negara.

Anak muda, masihkah mahu membuang masa?

Coretan Istimewa: Simposium UTAM

[Post di Fb bertarikh 2 Disember 2013]

Hadir ke Simposium UTAM, pada 26 Ogos yang lalu, merupakan antara salah satu hari yang istimewa dalam hidup saya.

Di sebelah pagi dengan pembentangan serta sesi soal jawab berkaitan isu pendidikan, manakala di sebelah petang pula berbincang mengenai merentas semangat partisan dalam mencapai matlamat membangunkan negara. Pengisian yang cukup menarik dan cukup banyak ilmu baru yang diperoleh yang membuka minda.

Sebelum sesi bermula, saya mengambil tempat duduk yang agak hadapan, dan sebaik sesi bermula, hanya fokus mendengar dan mencatat nota. Agak oblivious dengan keadaan sekitar. Hanya apabila Fathi Aris Omar mula bercakap, dan melahirkan kekagumannya apabila melihat peserta lelaki yang hadir begitu ramai, jauh lebih banyak daripada peserta perempuan. Lalu saya meninjau ke kiri dan kanan dewan untuk betul-betul memastikan sendiri kesahihan kata-kata beliau. Saya terkejut sendiri. Sudah terlalu biasa menghadirkan diri ke banyak program di mana kebiasaannya bilangan muslimat jauh lebih ramai. Tapi kali ini, tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan, bahawa jumlah peserta lelaki yang hadir, 5 atau 6 kali ganda atau mungkin juga lebih berbanding peserta perempuan. Tahniah. Mungkin ini agaknya muka-muka bakal pemimpin negara.

Dan ya. Perkara yang ingin saya ketengahkan dalam penulisan kali ini, adalah berkenaan keterlibatan perempuan dalam program-program pembudayaan intelektualisme.

Teringat perbualan ringkas semasa makan tengah hari bersama Siti Fatimah Zaini dan kak Nor Fadzleen semasa simposium. Semestinya sudah saya lupa bait-bait kata yang kami bicarakan, namun, kesimpulan ringkas yang saya peroleh dari sesi bual bicara ringkas tapi cukup bermakna itu adalah; satu perasaan 'a sense of belonging.'

Di simposium itu, kami yang rata-ratanya sebelum ini berkenalan hanya di dunia maya, ataupun tidak pernah kenal langsung, dapat bertemu dan berkenalan muka ke muka. Yang paling seronok adalah, untuk tiba-tiba membuka topik tentang isu semasa, permasalahan fikrah, atau mahu berbincang tentang satu topik falsafah, bukanlah sesuatu yang pelik, malah yang lain yang mendengar turut sama melontarkan pendapat menambah rencah.

Mungkin dalam kehidupan seharian masing-masing, bersama kawan-kawan sekuliah atau sepejabat, atau bulatan usrah yang diikuti, saya ulangi, mungkin; orang lain di sekitar menganggap bahawa diri ini:
fikrah celaru.
suka baca buku pelik-pelik.
tidak fit in.
terlalu banyak berteori.
liberal.

Dan kadang-kadang ada juga yang berpendapat, bahawa, orang seperti kami ini, seolah-olahnya mahu menonjolkan diri, mahu tunjuk pada orang, seolah-olah 'aku hebat sebab aku lagi banyak tahu dari kebanyakan orang lain.'

Sedang kami sebenarnya, apabila cuba bercakap atau mengulas tentang satu-satu isu dari satu sudut pandang yang mungkin agak berbeza dari yang lain, bukanlah kerana diri ini mahu tunjuk pandai, jauh sekali untuk berlagak sombong. Cuma, kami mahu berkongsi apa yang kami tahu, lalu mendengar pula sudut pandang orang lain yang mungkin kami sendiri tak pernah fikirkan. Dan mengajak pula orang lain untuk turut memikirkan permasalah semasa dan memikirkan solusinya bersama. Kerana kami sedar, bahawa hakikat ilmu itu terlalu luas. Semakin tahu semakin tidak tahu. Lagi banyak tahu, semakin sedar diri ini bodoh. Dan atas kesedaran inilah, kami mencari. Kerana kami percaya, 'knowledge is power'. Dan dengan ilmu, masyarakat boleh diubah, negara boleh dibangunkan.

Buat adinda-adinda(chewah. haha) sekalian. Di mana atau apa jua situasi yang anda berada sekarang, jangan pernah penat untuk mengejar apa yang anda percaya. Dan sentiasa ingat, bahawa anda tidak berseorangan. Kami juga yang agak 'gila' seperti anda, ada. Dan Dia juga sentiasa anda. Selamat mengejar ilmu Tuhan yang cukup luas ini!

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya" [Al-Insyiqaq:6]

Terima kasih Universiti Terbuka Anak Muda. Kerana mewujudkan, a place where we feel we belong to.
Dan semestinya, terima kasih Tuhan. Untuk segalanya.

Ini adalah sekadar luahan pandangan saya. Mungkin pandangan kita sama, atau mungkin juga berbeza. Andai sudi, mohon juga share di ruangan komen apa yang anda fikir dan rasa.

ps: Berbulan duk karang ayat dalam otak. akhirnya terluah jua.