[Tulisan di FB bertarikh 12 Januari 2014]
Semalam, alhamdulillah berpeluang berkunjung ke gereja di Konstanz
semasa sesi Stadtführung bersama-sama adik-adik junior yang baru sahaja
tiba di Jerman.
Sedang berjalan di dalam gereja melihat
ukiran-ukiran dan interior design, pandangan mata tertarik kepada
sepasang anak kecil dan ayah yang sedang meneliti patung-patung
bersempena peristiwa kelahiran nabi Isa(lihat gambar).
Lalu aku pun mengambil tempat duduk yang agak berhampiran untuk
memerhati dengan lebih dekat. Cuba untuk mencuri dengar perbualan, namun
oleh kerana kedudukan yang agak jauh, langsung tidak dapat menangkap
bual bicara mereka.
Namun dari pemerhatian, dapat dilihat si
ayah menuding-nuding jari pada patung-patung di hadapan mereka dan cuba
menerangkan kepada anaknya berkenaan figure-figure yang ada. Anaknya
pula mengemukakan soalan-soalan kepada si ayah di mana kelihatan dijawab
tenang dan ceria oleh si ayah.
Tujuan utama si ayah jelas.
Cuba menanamkan dalam diri si anak, tentang peri pentingnya asas
kepercayaan agama Kristian. Bila diterangkan sejak dari kecil, dengan
logik kanak-kanak, maka mudahlah untuk anak kecil itu tadi untuk
berpegang kuat dengan agamanya apabila usia meningkat dewasa kelak.
Lalu aku teringat pada kisah yang pernah dikongsikan oleh seorang
Ustaz, berkenaan tentang, penyembahan berhala oleh masyarakat jahiliyyah
Arab satu ketika dahulu (rujuk surah Az-Zumar: 3). Tujuan mereka,
adalah untuk mencari jalan, untuk taqarrub(dekatkan diri) dengan Tuhan.
Bilamana Tuhan itu tidak dapat dilihat, terasa seolah Tuhan itu tiada.
Namun bilamana ada patung sembahan, terasa seperti itulah cara mereka
untuk mewujudkan 'connection' dengan Tuhan. Terasa Tuhan itu wujud. Dan
dekat.
Namun, tanpa kompromi, dalam Islam, penyembahan berhala
itu sama sekali haram. Cerita tadi, hanya contoh yang sengaja dipetik,
untuk menunjukkan bahawa manusia itu fitrahnya sentiasa mencari-cari
alternatif untuk dekat dengan Tuhan. Bukan kerana tidak percaya, tetapi
mencari jalan, untuk mengukuhkan kepercayaan yang sudah sedia ada.
Dirakamkam di dalam Quran;
Nabi Allah Musa, meminta untuk melihat Allah.
Nabi Allah Ibrahim, meminta Allah menghidupkan yang telah mati.
Meminta pembuktian, untuk sebuah ketenangan dalam beriman kepada Allah.
Andai dua kisah ini hanya sekadar cerita, pasti Allah tidak akan
rakamkan di dalam Quran. Hikmahnya, pasti sangat besar. Untuk kita
mengambil iktibar.
Kita, umat akhir zaman yang ternyata tahap keimanannya jauh lebih rendah dari para Nabi.
Sedangkan Nabi itu sendiri meminta pembuktian, apatah lagi kita?
Adakalanya, meniti kehidupan dari hari ke hari, kita didatangi
persoalan-persoalan tentang ketuhanan, keimanan atau persoalan rumit
tentang agama kita sendiri, yang kadangnya hadir tanpa dipinta dan
mengganggu benak fikiran. Usahlah disangka persoalan yang hadir itu
sia-sia. Barangkali itu petanda dari Tuhan, untuk kita mendapatkan
jawapan dalam pencarian sebuah ketenangan.
"Mempersoalkan
keimanan dengan soalan-soalan kritikal ialah sebuah usaha untuk
meningkatkan kualiti keimanan kita. Iman itu aman, aman apabila hati
tenang terjawab persoalan." - Marwanbukhari.com -
Pesanan buat adik-adik junior; lihatlah yang tersirat pada yang
tersurat sepanjang keberadaan di bumi Jerman ini. Kadangnya, sesuatu
peristiwa yang kelihatannya seolah insignificant pada pandangan mata
kasar, barangkali bila direnung dan difikirkan kembali, banyak
sebenarnya yang mahu Allah ajarkan pada kita. Barangkali ada sesuatu
yang cuba untuk disampaikan. Barangkali tarbiyyah direct dari Dia. Buat
mereka yang berfikir dan mahu mengambil pengajaran.
Selamat memulakan lembaran hidup yang baru di Jerman. Moga-moga, masa kalian di sini, dimanfaatkan sebaik mungkin insyaAllah.

No comments:
Post a Comment