Banyak sebenarnya perkara baru yang aku belajar sepanjang hampir dua bulan mempelajari subjek ini. Seronok, dan sangat membuka perspektif baru. Selain lebih faham konsep-konsep dan terma yang ada dalam dunia perniagaan serta lebih memahami tentang perkembangan serta sistem ekonomi di negara Jerman ini.
Hari ini, aku bertanyakan soalan di dalam kelas. Suatu perkara yang jarang-jarang sekali aku lakukan berbanding menjawab soalan. Takut sebenarnya nak bertanya di dalam kelas. Dengan kehadiran pelajar sekitar 40-50 dalam satu kuliah, bertanyakan soalan sebenarnya satu cabaran. Kalau tidak pada orang lain, bagi aku ia satu cabaran besar. Tambah lagi bahasa Jerman ku tidak begitu lancar. Dan untuk tiba-tiba menyusun ayat dalam otak secepat mungkin dan bertanya on the spot, menambahkan lagi kesukaran. Dan kadang, aku juga takut adakah aku tidak faham kerana tidak faham konsepnya, atau atas sebab bahasanya? Tetapi tadi, entah mengapa aku beranikan diri untuk bertanya di tengah kelas. Berkenaan satu perkara yang sudah 2 kali diulang di dalam kelas. Semalam, dan juga hari ini bilamana Prof. Schmidt mengulang ajar. Dan semalam juga aku bertanya kepada rakan Jermanku, masuk kali ketiga diterangkan. Namun tidak juga aku faham.
Dan kali ini, soalanku, dijawab oleh Prof. Schmidt dengan baik. Akhirnya faham juga aku. Rupanya selama ini 3 kali aku diterangkan, tapi cara penerangan itu rumit tambah dengan kosa kata baru yang aku tidak tahu maksudnya. Juga barangkali laju sangat penerangannya. Namun penerangan ringkas dari Prof. dengan susunan kata yang mudah, menjadikan aku senang memahaminya. Mujur Prof. mengambil kira aku ini Auslaender(foreigner), jadi dia guna bahasa yang mudah-mudah sahaja.
Kadang dalam hidup, kita akan menghadapi fasa-fasa kesukaran dalam memahami sesuatu. Tidak kiralah dalam apa jua subjek, bidang ilmu atau apa jua isu. Tidak faham, sukar dan payah dihadam. Bukan semua perkara boleh difahami sepintas lalu. Dan bukan juga semua perkara boleh difahami dengan satu cara. Dalam kita cuba mendalami sesuatu ilmu, perkara pertama sekali yang perlu kita lakukan, adalah jangan berputus asa pada permulaan pencarian. Tidak faham, cuba lagi. Lagi dan lagi sampai ketemu faham. Kedua, untuk peroleh ilmu, punya cara yang banyak. Dengar, tanya, baca, dan lain-lain. Ketiga, setiap orang punya kelajuan tersendiri dalam cubaan untuk memahami sesuatu perkara. Jangan disangka diri tidak pandai hanya kerana lambat faham berbanding kawan-kawan. You have your own, unique pace. Dan kalau sudah laju, teruskan dengan kelajuan itu. Agar potensi yang ada, digunakan semaksima mungkin. Manusia itu, sememangnya dicipta berbeza-beza. Dan itu sebenarnya suatu perkara istimewa yang diatur Tuhan.
Dan tadi, di kelas, belajar tentang bagaimana sesuatu syarikat menetapkan gaji pekerja(rujuk gambar). Juga apa kesan bilamana kerajaan campur tangan dalam menetapkan Mindestlohn(=tahap gaji minimum). Adakah ia suatu kebaikan atau keburukan? Di sini tidaklah saya mahu menerangkan konsep pengiraan disebaliknya. Namun, apa yang saya mahu kongsikan adalah mesej disebaliknya. Dalam model graf gaji yang dibincangkan tadi, kelihatan ternyata penetapan Mindestlohn akan membawa kebaikan yang lebih besar. Namun, kenyataan itu HANYA betul dalam model yang sedang dibincangkan. Untuk mengatakan sesuatu itu baik dan buruk bukanlah sesuatu yang mudah. Kata Prof. Schmidt, kita perlu lihat pula dari sudut pandang lain, kesannya, faktor-faktor yang mungkin terlibat. Dan banyak lagi data dan informasi yang diperlukan sebelum betul-betul membuat kesimpulan akhir. Dan kesimpulan akhir itu juga barangkali boleh jadi tidak cukup tepat atas sebab informasi yang kita masih gagal untuk peroleh.
Dari kelas ini, sepertimana kelas-kelas dahulu, satu perkara yang konsisten yang ditekankan oleh Prof adalah, untuk sentiasa berhati-hati. Berhati-hati bila memberi pendapat, solusi, atau jawapan kepada sesuatu perkara. Ia semestinya akan mengambil masa untuk kita perhalusi sesuatu buah fikiran untuk sampai kepada jawapan. Namu perkara yang paling penting yang perlu diutamakan bukanlah semata jawapan, tetapi PROSES menuju jawapan.
Dan realiti kini, melihatkan ramai sekali orang yang mahu memberi pandangan berkenaan isu yang timbul. Meski diri, masih banyak yang tidak tahu dan ilmu pula masih kurang. Fakta diragui. Sumber tidak jelas. Bilamana satu-satu isu naik, kadangkala kita terlalu mengikut perasaan untuk menyatakan komentar atau kritikan tanpa asas ilmu. Terus terjun kepada kesimpulan awal. Terus share di media sosial. Mahu dilihat orang seolah diri cakna akan perkembangan semasa. Namun banyak tempangnya dalam penghujahan(kalaupun ada). Besar sekali hikmah dalam firman Tuhan dalam ayat 6 surah Hujurat. Sungguh, banyak perkara di dunia ini, tidak semudah hitam atau putih. Tapi banyak yang kelabu. Yang memerlukan penelitian, kajian, dan proses berfikir.
Untuk menyokong atau membantah, perlu atas dasar ilmu.
Bilamana ilmu dibelakangkan dan emosi diutamakan, sungguh tidak adil untuk kita mengambil pihak secara melulu.
Tidak mengapa untuk tidak mengambil pihak terlebih dahulu. Anda bukan neutral. Bukan juga atas pagar.
Anda cuba untuk setia dengan kebenaran.
Dan kebenaran itu bertunjangkan asas ilmu.
Kerana sungguh, bilamana kita tidak disibukkan dengan ILMU, kita akan disibukkan dengan ISU

Sedikit pendapat yg bercanggah,isu juga ada sisi ilmu.Sebab kalau cth isu kehilangan MH(sori guna cth ini pula) org akan keluarkan teori fizik.Isu matawang Ringgit jatuh,akan keluar teori ekonomi.cumasoalnya bagaimana kita melihat isu,dengan komen dari perasaan atau bersandarkan ilmu rasional :-)
ReplyDeletePada pandangan akak, bagus je bilamana pandangan2 sebegitu keluar bilamana satu-satu isu itu naik. Cumanya, ia hanya bagus bilamana keluar dari pandangan mereka yang ahli dan punya ilmu. Masalah yang dilihat adalah bilamana satu isu timbul, semua seolah mahu berlagak pandai padahal baru sahaja google dan skim2 di Wikipedia.
DeleteSatu lagi, kebanyakan berita sekarang bersifat non-linear. Kalau satu tragedi besar, barangkali isunya lama seminggu mungkin terbit di media dan dada2 akhbar. Tapi kebanyakan isu bersifat sementara, selang sehari dua hari, muncul berita lain, yang barangkali tak ada kena-mengena langsung dengan isu hot semalam. Dan fokus pun beralih. Jadinya, dunia macam seolahnya nampak kucar-kacir tidak nampak di mana mahu mula cari solusi atas sebab peralihan fokus. Yang baiknya adalah, satu kumpulan individu, fokus satu isu, kaji betul-betul satu isu, sampai jumpa akar isu, kemudian bahas, dan cari jalan penyelesaian. Isu-isu lain pula, orang lain, dengan proses yang sama.
Masalah timbul, bila semua orang mahu tahu, kaji semua benda. Sangkanya mereka cakna, produktif, rupa-rupanya semua itu hanya ilusi.
Oh ya, tidak tahu relevan atau tidak, akak ada jumpa buku ni di internet. tak full lah tapi. tapi menarik tulisannya.
https://www.scribd.com/read/224271953/Who-Owns-the-Future