Tuesday, 24 November 2015

Bidang Kejuruteraan Yang Tidak Mencukupi

[Tulisan di FB bertarikh 22 November 2015]

  

Mempelajari bidang kejuruteraan yang serba kompleks dengan segala macam formula matematik, sistem dan proses yang pelbagai, kenalpasti jenis-jenis bahan mentah, tambah pula perlu juga sedikit-sebanyak menguasai bahasa programming seperti Java, C++ dll, di kuliah, dalam kelas tutorial dan membuat latihan sendiri, jarang-jarang sekali pelajar dibawa atau membawa diri untuk mencari makna mendalam di sebalik bidang yang sedang diceburi.

Apakah makna 'techniques'?

Apakah sejarah programming?

Siapakah Haber?

Apakah kesan teknologi terhadap ekonomi dan sosial?

Sejak bila manusia mula menggunakan jam mekanikal? Apakah pula kesannya kepada peradaban manusia?

Persoalan-persoalan ini jarang-jarang sekali disentuh semasa kuliah. Kalaupun ada, hanyalah di permulaan kuliah semasa awal semester. Itupun cepat-cepat saja Profesor terangkan di kelas sekali lalu. Memandangkan para pelajar tidak pula menunjuk minat. Yalah, bukan masuk periksa pun.

Namun, bilamana segolongan manusia yang akhirnya bakal menjadi figur penting dalam menyelesaikan serba masalah berbentuk teknikal yang timbul dalam dunia moden ini, bila dirinya tidak memahami secara mendalam sebab-akibat sesuatu ciptaan baru dan sesuatu inovasi, kurang memahami konsep 'man and nature', apa lagi faktor pengaruh budaya, apa agaknya yang bakal sesuatu tamadun terpaksa korbankan demi harga sebuah kemajuan?

Atas ketidakcukupan ruang ilmu yang mampu diperoleh dari kuliah atau dari keterlibatan diri dalam sesebuah syarikat, seharusnya tanggungjawab menimba ilmu ini akhirnya terpaksa digalas sendiri oleh penuntut ilmu bidang kejuruteraan. Lihat sahaja dunia hari ini. Serba moden serba maju. Namun ketidakadilan dimana-mana sahaja boleh dilihat. Keadaan alam, apa lagi. Serba tenat dengan pencemaran. Yang kebanyakannya tidak dapat dinafikan, disebabkan oleh perkembangan pesat dunia hari ini dalam bidang pembangunan dan teknologi.

Yang tinggal, adalah untuk membaca dan fahamkan sendiri.

Namun, kejuruteraan bukanlah satu bidang yang sinonim dengan aktiviti membaca. Belajar satu formula baru di kuliah, lepas tu rasa macam faham. Bila tengok soalan lain sikit, sudah keliru. Makanya jalan yang ada untuk memahirkan diri adalah dengan membuat latihan demi latihan untuk memahamkan sesuatu konsep. Kemudian beralih ke konsep baru pula. Latihan lagi. Begitulah diulang-ulang. Hingga mahir. Hingga punya keyakinan untuk menduduki peperiksaan. Makanya, cubaan untuk membaca bahan baru yang tidak nampak kaitannya terhadap bidang sendiri secara langsung ataupun kehidupan sendiri, serasa sukar masa untuk diluangkan untuk menelaah.

Atas limitasi yang ada ini, harapnya rakan-rakan sahabat mana yang lebih arif tentang perbahasan seputar teknologi dan 'post-modernism', yang biasa menggauli buku-buku yang sepertinya golongan kami ini sukar untuk faham, bantulah untuk berkongsi barang sedikit ilmu. Cumanya, usahlah label-label seperti 'Ah, orang bidang hard science memang macam ni,' atau gelaran seperti, 'pekerja yang hanya memenuhi kehendak industri dan pasaran, habis alam sekitar langsung tidak terjaga' ditujukan secara langsung ataupun tidak kepada golongan jurutera atau bakal jurutera atau bidang seumpamanya. Kerana kami juga manusia. Sedar kekurangan diri, namun bilamana dikatakan itu ini tentang bidang sendiri, tawar hati juga rasa mahu mendengar butiran ilmu yang barangkali memang wajar dipertimbangkan dalam perincian sebuah solusi masalah.

Tapi, ya. Walaupun sukar, pelajar bidang kejuruteraan juga harus tak punya alasan untuk ambil tahu lebih banyak tentang perkara yang sebenarnya sangat berkait-rapat dengan bidang sendiri namun tidak diselitkan di dalam silibus belajar.

[Gambar merupakan antara cadangan buku-buku yang barangkali boleh dimanfaatkan untuk para bakal jurutera. Antara penulis yang bagus berkenaan hal ini menurut Neil Postman adalah Lewis Mumford. Kalau dari aspek falsafah pula, mungkin boleh cuba baca tulisan Martin Heidegger. Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir pula dahulu pernah mencadangkan para penuntut bidang kejuruteraan menelaah karya Spengler(khususnya untuk pelajar di Jerman).]

*Antara semua ni, Technopoly je yang baru aku sempat baca. Death of The Soul baru baca sikit depan. Revisiting Malaysian Modernisation pun begitu juga. Sebab bab awal tu tentang Penal Code. Satu benda yang aku hampir kosong pengetahuan tentangnya. Jadi rasa susah untuk sambung baca.

**Aku biasanya membaca hanya semasa perjalanan ulang-alik dengan tram dari rumah ke Uni sehala 17 minit. Ataupun semasa perjalanan dalam tren ke bandar-bandar lain bilamana seorang diri. Atau sebelum tidur bilamana buku itu benar-benar amat occupy my mind at the moment. Nanti, masuk sahaja Disember, perlu fokus betul-betul dengan peperiksaan, perlu berhenti. Belajar sudah sangat mentally exhausting. Membaca bahan begini juga begitu. Maka satunya terpaksalah dikorbankan...

***Setiap kali mahu muatnaik gambar buku, akan rasa serba salah dengan rakan-rakan Malaysia. Kerana, buku-buku begini yang berbahasa Inggeris, sangatlah mahal. Sukar pula jumpa. Kalaupun jumpa, harga yang tertera menyiat-nyiat jiwa dan raga. Jadi kawan-kawan luar negara, jangan disiakan nikmat yang ada. Pelaburan yang bukan sekadar untuk diri, bahkan untuk kehidupan yang lebih baik untuk segenap manusia, bilamana ilmu yang sedikit demi sedikit dikutip, diaplikasi dalam penyelesaian masalah kemasyarakatan.

No comments:

Post a Comment