Sekitar
setahun yang lalu, buku Amusing Ourselves to Death karya Neil Postman
telah berjaya tamat dibaca oleh penulis. Buku yang sarat dengan pelbagai
maklumat baru. Ataupun maklumat lama beserta dengan perspektif yang
baru. Buku pertama karya Neil Postman yang dibaca oleh penulis. Yang
mengenyangkan minda dan banyak meninggalkan kesan terhadap diri penulis
hingga kini berkenaan hal ehwal teknologi, media massa dan lambakan
informasi di era digital hari ini.
Persoalan yang berkali-kali wujud di kotak fikiran penulis sepanjang bacaan buku ini adalah:
Neutralkah teknologi?
Kesimpulan awal yang dapat diputuskan, lebih cenderung kepada tidak.
Di dalam buku ini, Neil Postman memulakan dengan persoalan
epistemologi. Kemudian perbandingan typograph dan telegraph. Disusuli
dengan analisa beliau bilamana media hari ini berfokus kepada permainan
'peek-a-boo' di mana berita-berita pada saban hari dan waktu, tenggelam
timbul tanpa sebarang konsistensi. Yang menatijahkan kesan, pengguna
media tidak lagi mengikuti isu secara berterusan tetapi hanya memberi
perhatian hanya kepada isu baru dan terkini. Yang lama, sudah tidak
punya apa makna.
Juga yang menarik, bilamana Postman
membandingkan amaran Orwellian di dalam buku bertajuk 1984, dan amaran
Huxley di dalam buku Brave New World. Postman mengatakan bahawa amaran
Huxley lebih tepat. Memandangkan Postman memberikan pandangan dari sudut
pandang warga Amerika untuk negara Amerika, penulis boleh
bersetuju. Tetapi memikirkan tanah air sendiri, pada pengamatan penulis,
kedua-keduanya merefleksi Malaysia hari ini. Menyedihkan.
Memetik kata-kata Neil Postman berkenaan perbezaan ramalan Orwellian dan Huxleyan,
What Orwell feared were those who would ban books.What Huxley feared was that there would be no reason to ban a book, for there would be no one who wanted to read one.Orwell feared those who would deprive us of information.
Huxley feared those who would give us so much that we would be reduced to passivity and egoism.
Orwell feared that the truth would be concealed from us.
Huxley feared the truth would be drowned in a sea of irrelevance.
Orwell feared we would become a captive culture.
Huxley feared we would become a trivial culture, preoccupied with some equivalent of the feelies, the orgy porgy, and the centrifugal bumblepuppy.
In short, Orwell feared that what we hate will ruin us.
Huxley feared that what we love will ruin us.
Komik strip berkenaan petikan di atas boleh dibaca di sini.
Dan,
Neil Postman turut mengetengahkan bagaimana hiburan digunakan dalam
penyampaian agama. Sesuatu yang dikesalkan bilamana matlamat bukan lagi
demi agama, namun demi hiburan. Yang penulis sendiri boleh lihat
senarionya
berlaku di Malaysia. Filem cinta islamik, program realiti tv islamik,
produk islamik, dan lain-lain. Yang tujuannya kelihatan jauh dari niat
asal mahu mendekatkan diri insan kepada Tuhan, tapi semata-mata
mengeksploitasi tarikan yang ada untuk keuntungan dalam bentuk wang
ringgit.
Buku ini, ditulis 30 tahun yang lalu. Namun, isinya
bilamana dibaca, sangat relevan hingga ke hari ini.
Penulisnya pula sudah meninggal dunia. Membaca buku ini, buatkan penulis
terfikir, alangkah bagusnya andai beliau masih ada. Pastinya analisa
yang jauh lebih kritikal dapat beliau hasilkan melihatkan perkembangan
teknologi hari ini. Dengan telefon pintar, tablet, internet, media
sosial masa kini, pasti lebih banyak buah pandang dari beliau yang boleh
dimanfaatkan.
Lalu penulis fikir, bukankah Neil Postman sudah
melangsaikan amanahnya, pada zamannya. Bukankah pada zaman ini,
tanggungjawab itu, sudah tergalas di bahu kau? Dan kau, kau dan kau? Penulis
di zaman lalu, menulis supaya boleh dirujuk orang di zamannya dan di
masa depan. Bukankah kau juga, seharusnya memikul tugas yang sama?
Hembus nafas panjang.
Masih banyak perkara yang perlu belajar.
No comments:
Post a Comment