Tuesday, 20 May 2014

Akademischer Tag [14.05.14]


 Rabu, 14 Mei yang lepas, badan pelajar di fakulti saya iaitu fakulti Wirtschaftwissenschaften (=Economics) ada mengadakan suatu program iaitu Akademischer Tag (=Hari Akademik). Ia adalah program berkala tahunan pada setiap Sommersemester (semester musim panas) dan yang kali ini adalah kali ketiga program ini diadakan. Pertama kali saya menghadirkan diri adalah pada tahun lepas. Juga pada 14 Mei. Sepertimana yang anda boleh lihat di dalam jadual pada gambar, secara ringkasnya program pada hari tersebut menawarkan pelbagai tajuk menarik berkaitan isu semasa bertemakan ekonomi dan kejuruteraan yang disampaikan oleh para profesor fakulti kami sendiri. Yang berbeza pada tahun ini, pelajar sendiri yang mencadangkan tajuk dan dalam masa beberapa minggu sebelum hari program, semua pelajar fakulti kami berhak mengundi tajuk-tajuk yang dicadangkan bagi memutuskan tajuk apa yang bakal dibentangkan oleh para profesor. Demokrasi.



Jadual Akademischer Tag 2014 


Jadual Akademischer Tag 2013

Sesuatu yang agak menyedihkan, kalau itu perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan perasaan saya, adalah bilamana dalam satu-satu masa, 4 sesi diskusi berjalan serentak. Maka jadilah ianya suatu bentuk opportunity cost bilamana diri terpaksa hanya memilih satu dan mengorbankan 3 lagi diskusi yang mungkin juga menarik. Hari yang penuh dilema. Sungguh. Dalam jadual, yang ditanda bulatan hijau adalah sesi diskusi yang telah saya hadiri manakala yang berwarna merah pula yang juga saya ingin pergi tapi apakan daya, diri ini tidak ada skil Kage Bunshin no Jutsu seperti Naruto untuk mengklonkan diri kepada lebih dari satu untuk hadir ke semua diskusi yang disukai. :'(



Diskusi yang saya hadiri, mengikut urutan adalah:
1) Warum denken wir oft zu kompliziert?  = Why do we always think complexly?
   - oleh Prof. Dr. Bleiweis. Profesor kesayangan :) yang mengajar subjek Betriebswirtschaftslehre(Business Economics)
2) Kann Sparen fuer eine Volkswirtschaft gut sein? = Is saving good for economics?
   - oleh Prof. Schmidt. Profesor bagi subjek paling best semester ni, VWL. :D
3) Ökonomie neu denken- Stehen wir vor einem Paradigmenwechsel? = New way of thinking on economics - Are we facing a paradigm shift?
   - oleh Prof. Krämer. Pertama kali mendengar lecture dari beliau. Dan sangat best!
4) Wer reich ist wird reicher, wer arm ist wird ärmer. Warum eigentlich? = Those who are rich are getting richer, and those who are poor are getting poorer. Why is it the case actually?
   - oleh Frau Anselmann. Juga pertama kali dengar lecture dari beliau. Sangat banyak input baru tentang statistik dan data berkenaan status ekonomi semasa Jerman diperoleh dalam sesi ini.
5) Unbegrenztes Wachstum in einer begrenzten Welt / Brauchen wir Wachstum nur im Zinsen zu tilgen? = Unlimited growth in a limited world. Do we need growth only to pay it off back in the form of interest?
   - juga oleh Prof. Schmidt. :)



Profesor Kraemer sedang membentangkan tajuk Paradigm Shift


Kaya makin kaya, miskin makin miskin

Rata-rata tajuk dibentang sekitar 15-20 minit oleh para profesor dan masa selebihnya pula diikuti oleh sesi soal jawab. Satu hari suntuk menadah ilmu yang barangkali rata-ratanya tidak penting untuk peperiksaan akan datang. Tetapi kepuasan intelektual diperoleh bilamana dapat belajar banyak perkara yang baru juga sudut pandang baru dalam menilai sesuatu perkara atau isu, adalah suatu pengalaman paling berharga yang dapat dikutip seharian Akademischer Tag ini. Pengisian yang saya kirakan, jauh lebih penting dari sekadar mengumpul markah yang tinggi dalam peperiksaan.

Suka untuk saya berkongsi ilmu yang diperoleh, namun di sini, tidaklah akan saya kongsikan semuanya. Sekadar yang penting-penting dan relevan sahaja. Terlalu panjang pula nanti.

Dalam diskusi kedua, secara ringkas tajuknya berkisar tentang adakah langkah penjimatan itu sesuatu yang bagus untuk sesebuah masyarakat lakukan. Adakah ia menguntungkan atau merugikan? Semasa hadir ke diskusi ini, mindset saya tentang tajuk ini, mudah. Berjimat membawa maksud, berjimatlah. Less consuming, less spending.Baguslah untuk sesebuah masyarakat. Malang sekali pemikiran saya itu sangat simplistik. Terkejut juga bilamana Prof terangkan maksud Sparen(=penjimatan) itu sendiri ada 5 maksud yang berbeza(!). Dan sama ada baik atau tidak, ia bergantung kepada pendefinisian mana yang kita pilih. Prof hanya menerangkan 2 secara detail, iaitu satu definisi, baik dan satu lagi tidak baik, manakala 3 lagi hanya diberikan maksudnya secara asas sahaja. Saya ingin berkongsi dengan kalian, tapi, sukar benar saya mahu menjelaskannya dalam bahasa Melayu buat masa sekarang. Mungkin lain kali kalau ada yang berminat untuk tahu. Cumanya, mesej yang mahu dikongsikan pada kalian, adalah tentang kepentingan pendefinisian. Dalam banyak hal, kita sering terjun untuk membuat kesimpulan sendiri berdasarkan maklumat yang kita sudah ada. Our own pre-conceived ideas. Yang barangkali masih tidak lengkap. Jadi, dalam pada kita berhujah dengan rakan yang tidak sependapat tentang sesuatu isu, cuba tenangkan diri dahulu, tanya dulu apa pokok pangkal isu, define dahulu stand masing awal-awal. Kerana barangkali anda boleh tersangkut dalam debat yang tidak berkesudahan, hanya kerana anda sangka anda berhujah tentang perkara yang sama, tapi sebenarnya 2 perkara yang jauh berbeza. Completely different definitions, different way of understanding. Jadi, hati-hati. Takut-takut nanti buang masa pula.

Dalam diskusi yang terakhir, bagi saya ia adalah diskusi yang paling menarik walaupun pada ketika itu saya sudah tidak mampu untuk fokus kerana sudah mentally exhausted. Terlalu banyak dapat input baru, dijamu sekian statistik dan data, sudahlah dalam bahasa Jerman yang jargon ekonominya masih banyak yang saya tidak begitu biasa mendengarnya atau barangkali pertama kali tahu akannya. Saya tidak begitu fokus semasa Prof. Schmidt sedang bentang kerana banyak terdapat cara pengiraan matematik yang saya kirakan kompleks dan tidak berapa mampu difahami. Tetapi yang menarik, adalah luahan pandangan dari seorang pelajar sekelas saya sendiri, pelajar lelaki Jerman yang saya tidak kenal namanya apa, namun saya perasan di kelas dia adalah antara pelajar yang aktif bertanya soalan di dalam kelas dan juga seorang yang rajin. Dialah orangnya yang mencadangkan tajuk ini untuk dibincangkan, lalu Prof Schmidt bertanya padanya kenapa tajuk ini yang dipilih?

Lalu jawabnya kurang lebih berdasarkan kefahaman saya;
"Saya tak faham kenapa kita kena sentiasa ke depan dan ke depan. Asyik dengan pembangunan. Kenapa tak boleh ke kita patah balik sikit ke belakang. Slow down sikit. Kita asyik hasilkan produk-produk baru sedang sumber yang kita ada semakin lama semakin berkurang. Nehmen Sie Primark zum Beispiel. Die Leute kaufen immer wieder neue Kleidung und in grosse Anzahl. Warum können wir nicht wenige kaufen und für eine lange Zeit die Kleidung tragen? Wir leben immer im Luxus wenn es gibt Leute die NICHTS habe! Es ist, es ist,,, krank."
(=Cuba awak ambil Primark sebagai contoh. Banyak orang sekarang asyik beli pakaian baru, dan dalam kuantiti yang banyak. Kenapa tak boleh ke kita beli sedikit, dan pakai baju tu dalam tempoh masa yang lama? Kita sentiasa hidup dalam kemewahan, sedangkan ada ramai lagi manusia di luar sana yang hidup dengan tak ada apa-apa! Benda ni, benda ni,,, sakit.)"

Dan ini, dia katakan dengan nada yang emosional. Dan perasaannya, tentang hal ini, sampai kepada kami. Suatu keresahan, kebimbangan, bilamana situasi masyarakat pada hari ini kelihatannya sungguh mementingkan diri bilamana diri hidup senang-lenang tanpa rasa belas kasihan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Dan isu yang kembali timbul, iaitu persoalan jurang miskin-kaya yang kelihatan tiada kesudahan. Kaya makin kaya, miskin makin miskin.

Lalu aku memandang ke wajah Profesor Schmidt. Terserlah pada raut wajahnya kesukaran untuk menjawab soalan sedemikian. Aku juga akur, persoalan yang sekian lama difikirkan oleh para ekonomi, pembuat polisi berkurun lamanya, dan puluhan, ratusan mungkin ribuan saya juga tidak tahu berapa agaknya angka buku yang sudah diterbitkan, namun persoalan ini masih tidak punya jawapannya. Manakan mungkin 3 ke 5 minit jawapan balas mampu menjawab soalan yang sedemikian rumit ini.

Lalu Prof. Schmidt menjawab soalan itu, juga dengan soalan.
Ditanya, "berapa antara kalian tidak perlu gunakan kereta?"
Agak banyak tangan diangkat dari kalangan audiens.
Ditanya lagi, "berapa banyak antara kalian tidak perlu gunakan mesin basuh?"
Kali ini tiada yang mengangkat tangan.
Lalu kata Prof Schmidt, saya cadangkan, kalian tonton video di Youtube, Hans Rosling on Washing Machine. Saya yakin mudah untuk anda carinya. Kemudian tonton.

Itu jawapan dari Prof. Tamat di situ. Tanpa penjelasan lain. Audiens juga kelihatan terpinga-pinga. Saya sendiri tak faham mengapa. Rasa seolah-olah tergantung. Dan Prof seolah lari dari menjawab persoalan ini.

Tapi, syukur terbuka hati ini untuk cari video itu. Dan, walau ia tidak menjawab persoalan yang diajukan, sekurang-kurangnya, ia membuka satu pintu, untuk lebih faham tentang perkara-perkara penting yang berlaku sepanjang kita mengejar pembangunan teknologi. Dan menghargai, perkara-perkara kecil yang barangkali kita terlepas pandang. Jemput juga kalian untuk menonton. Hanya 4 minit. Dan anda pasti(harapnya) akan jatuh hati pada penyampaian Profesor ini. Menarik sekali. Saya juga sangkut mendengar lecture-lecturenya yang lain di Youtube. Sungguh membuka minda. :)

Link video: http://www.youtube.com/watch?v=BZoKfap4g4w

Terima kasih Prof Schmidt kerana memperkenalkan saya pada sosok ini.
Dan semestinya, terima kasih Tuhan.
Kerana Dia jugalah yang mengilhamkan segalanya.
Sebagai pengantara untuk ilmuNya disampaikan pada hambaNya.

Juga seperkara yang menarik, semasa Akademischer Tag ini, bukan sahaja pelajar yang mendengar pembentangan dari Profesor, malahan Profesor juga boleh sama turut serta mendengar. Dan semasa sesi yang ini, Prof Krämer yang membentang tajuk tentang Paradigm Shift on Economics turut sama memberikan buah pandang. Antara serba sedikit yang saya faham berdasarkan tahap keterbatasan kefasihan memahami bahasa Jerman dengan baik, kata Prof Krämer kurang lebihnya begini;
"Perihal tentang persoalan globalisasi dan kemajuan. Kalau kita lihat balik ke belakang, kenderaan contohnya, kita bermula dengan manusia menaiki kerbau, kemudian penciptaan kereta, dan sekarang kita sudah ada Boeing. Semua itu berlaku dengan pantas. Tetapi, selepas Boeing, apa lagi yang ciptaan baru, yang lebih baik yang mampu kita bina? Dan kalau dulu, peningkatan gaji akan membawa kepada peningkatan produktivit bekerja, tetapi dalam 20 tahun kebelakangan ini, gaji semakin meningkat membawa kepada produktivit yang makin berkurang. Dan inilah yang dikatakan oleh Thomas Piketty, seorang ahli ekonomi Perancis, katanya, capital interest meningkat jauh lebih laju dari peningkatan produktiviti.[Dan kemudian beliau quote dari ahli-ahli ekonomi lain pula yang saya tidak familiar nama-namanya, dengan menyatakan setiap dari mereka mempunya pandangan dan hujah yang berbeza berkenaan punca kepada persoalan yang sama, iaitu persoalan Ungleichheit in society(= ketidakadilan dalam masyarakat) Dan harga yang kita terpaksa bayar, adalah Ungleichheit(=ketidakadilan) yang makin melebar. Cukai contohnya, bilamana yang kaya dikenakan cukai melebihi 45% dari pendapatan mereka, maka mereka tidak akan punya motivasi lagi untuk bekerja. Sekiranya anda berminat dengan isu-isu ni, boleh datang jumpa saya dan saya boleh berikan beberapa bahan bacaan tentang ini."

Begitulah sedikit sebanyak buah pandang dari Prof. Krämer. Saya kirakan, barangkali boleh jadi apa yang saya faham ini kurang atau tidak tepat, sekali lagi disebabkan masalah bahasa dan banyak jargon ekonomi. Tapi ini yang semampu saya lakukan dengan mencatat nota semasa diskusi berlangsung. Mohon maaf salah dan silap yang ada.

Soalan saya adalah, adakah anda faham apabila membaca kenyataan dari Prof Krämer tersebut? Secara jujur, saya juga tidak begitu faham. Tetapi, itulah yang menyeronokkan dalam kembara pencarian ilmu ini. Ilmu yang mampu difahami sekilas pandang sekali imbas, sebenarnya secara peribadi bagi saya tidak cukup untuk kita betul-betul mendalami sesuatu jenis ilmu. Kerana hakikat menuntut ilmu, adalah bilamana kita tidak faham, pencarian sebuah faham itulah perjalanan hidup yang bermakna. Dari tidak tahu, kepada lebih tahu, faham, arif dan pakar. At the end of the day, kepuasan pencarian sebuah ilmu bukanlah pada hujungnya iaitu kesampaian diri pada jawapan, namun PROSES menuntut ilmu itu sendiri. Yang penuh dengan keletihan, rasa ingin tahu, berguru, membaca. Yang makin menambah rasa rendah diri pada diri, bilamana hakikat ilmu itu; semakin tahu semakin tidak tahu, benar-benar dihayati dan diselami. Dan kerana itu, suatu perkara yang saya selalu cuba untuk lakukan adalah bilamana diri bertemu dengan persoalan atau sesuatu perkara yang tidak diketahui, baru atau tidak faham langsung, janganlah sewenangnya memori akannya dihapus atau dibakulsampahkan begitu sahaja di kotak memori. Simpan dahulu. Di kotak memori, catatan nota bertulis, dalam phone, Evernote atau apa jua bentuk penyimpanan data. Kerana, apa jua cabang ilmu sekalipun, sentiasa berhubung kait antara satu sama lain. Interconnected. Sekiranya kita cukup rajin dan sabar dalam kembara pencarian ilmu ini, percayalah, akan tiba suatu masa bilamana yang hitam kelam kian menunjukkan sedikit sinar walau masih dalam kesamaran. Yang berserabut, intertwined kian terurai simpulannya. Yang tidak faham, semakin hampir kepada kefahaman. Yang sudah faham pula, barangkali punya satu sisi faham lain yang tidak pula disedari akan kewujudannya setelah sekian. Begitulah dia, magisnya hal ini.

Akhir sekali, yang mahu saya sentuh ada berkenan isu generalisasi dan masalah majoriti Muslim hari ini. Barangkali ini juga suatu bentuk generalisai dari saya sendiri. Makanya, salah dan silap dalam poin-poin yang bakal ditulis ini, mohon tunjukkan. Saya, budak yang baru belajar, juga anak muda yang sifatnya seakan mahu sentiasa mahu menentang arus. Kata mudahnya, jiwa memberontak.
Begini, saya lihat rata-rata pendokong gerakan Islam tidak kiralah dari gerakan manapun, selalu memberi pandangan sebegini lebih kurang;
"Lihatlah Barat. Dengan segala sistem rekaan mereka yang bijak pandai itu. Yang dibangga-banggakan. Kapitalisme yang menindas, soialisme juga begitu. Sedang Islam itu solusi kepada semua permasalahan manusia. Kita kena kembali kepada Islam. Hanya Islam sahaja yang mampu menyelesaikan semua masalah dunia!"

Ya, ini hanya petikan rekaan saya, yang tidak dicopy-paste dari mana-mana sumber. Tapi, mesej yang mahu saya sampaikan, harapnya jelas. Ini, adalah masalah utama yang saya perhatikan yang melanda masyarakat Muslim. Yang sayangkan Islam. Yang mahu lihat Islam kembali dijulang di tempat yang tertinggi. Soalan saya adalah, bagaimana? Anda sentiasa laungkan Barat itu menindas, pentingkan diri, hanya mahu kumpul kekayaan dengan menindas orang miskin. Anda katakan kapitalisme itu menindas. Maka soalan saya, maka apa sistem cadangan dari anda? Ekonomi Islam? Apa sebenarnya ekonomi Islam? Mana dia blueprint perlaksanaan sistem itu? Mana think-tanknya? Semuanya kabur. Kadang kita ini terlalu skeptis terhadap Barat hingga kalau boleh tidak mahu merujuk mereka kepada penyelesaian masalah semasa. Saya, sepanjang-panjang Akademischer Tag ini, suatu perkara yang saya perhatikan adalah, orang Barat inilah yang menganjurkan pelbagai tajuk diskusi yang banyaknya menjurus kepada kritk sistem kapitalisme itu sendiri. Kritikan pada sistem ekonomi semasa pada hari ini. Kerana apa? Kerana mereka ambil peduli. Ambil peduli kepada orang miskin. Permasalahan dunia secara global. Mahu satu solusi yang semakin boleh memberikan keadilan kepada lebih ramai orang. Bantu semampu mungkin. Meski mereka hanya seorang. Seorang pelajar. Seorang profesor. Mereka ambil kisah akan negara mereka secara khusus dan dunia secara amnya. Kerana mereka sendiri akur bahawa sistem kapitalisme ini punya banyak kelemahannya. Tapi ini sistem yang terbaik yang mampu mereka rangka sejak sekian lama mengkaji. Dan orang Islam? Buat apa? Kritik tanpa datangkan solusi? Kritik tanpa faham. Slogan tanpa inti. Untuk apa? Islam kembali dijulang? Islam sebagai world order? Bagaimana?
Sungguh. Saya tidak faham. Dengan sikap.
Sikap kita sendiri. Yang sambil lewa dengan ilmu.
Orang sibuk mengejar ilmu, dituduhnya pula neo-muktazilah. Terlalu mengagungkan akal.
Sikap yang terlalu skeptis. Skeptis yang merugikan.
Dan di penghujung hari, mana wakil masyarakat Islam dalam masalah kebuluran? Kemiskinan? Pencemaran global?
Bukankah Islam itu solusi kepada masalah dunia?

Maaf andai agak emosi. Tapi, itu keresahan yang saya rasai. Dalam satu temph yang agak lama juga. Mohon tunjuk salah silap. Saya budak baru belajar. Teguran, kritikan, dialu-alukan. Terima kasih.

_____________________________________________________________

Dan dengan itu, tamatlah perkongsian seharian ber-Akademischer Tag di University of Applied Science Karlsruhe. Hanya satu hari, namun sebegitu banyak input diperoleh. Alhamdulillah.

Perkongsian ini, adalah sedikit sebanyak yang saya paksakan diri saya untuk menulis moga biar bermanfaat buat semua juga untuk saham diri di alam 'sana'. Sekadar memetik status Shuhaib R-Rumy di Facebook beberapa bulan yang lalu yang dicopy paste dalam simpanan nota;

"Dear friends,

If you managed to attend any events, trips, seminars or anything please share what you got there; the ideas, meaning, knowledge or something that can enlighten our soul and society.

Your photos are meaningless to us.

Regards, me."

Ingin saya simpulkan, sebagai sebuah pesan buat rakan-rakan sahabat-sahabat pencinta ilmu sekalian. Terutama buat yang sedang menuntut ilmu di luar negara. Jika anda seperti saya, melihatkan sebegitu banyak poster majlis ilmu di Malaysia yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan di newsfeed Facebook pasti mewujudkan satu perasaan cemburu dan sedih ya amat. YouthACE, 'Ilmfest, Kuliah oleh Syed Naquib al-Attas, Wacana Tarbiyah Hamka, siri Lepak Maqasid(sekadar menyatakan beberapa dari berpuluh lagi yang ada) yang semestinya sangat menggiurkan. Namun atas keterbatasan geografi, diri sama sekali tidak berpeluang untuk menyertai. Ya, video barangkali akan ada, namun, pengalaman melihat mendengar secara live, lain benar rasanya. Langsung tidak sama.

Makanya, dalam pada kita mencemburui sekian banyak majlis ilmu di tanah air sendiri, atau di mana jua lokaliti yang berbeza dari tempat sendiri, cuba renung dan fikirkan kembali. Agak-agaknya, di lokaliti sendiri, apa agaknya yang barangkali aku terlepas pandang? Majlis ilmu, walau apa jua bentuknya, tetaplah majlis ilmu. Andai tidak ada, mulakanlah dengan kadar kapasiti sendiri. Kadang terlalu asyik mengimpikan yang jauh hinggakan yang didepan mata sendiri seakan tidak kelihatan. Cemburu, sedih itu tidak mengapa. Tapi jangan sampai lupa yang dekat. Yang di Eropah tidak perlu terlalu mencemburui sahabat di negara Arab yang sokmo bertalaqqi. Yang di Malaysia juga sama. Tidak perlu terlalu mencemburui yang di Eropah dapat melihat sendiri sebegitu banyak sejarah peninggalan zaman Renaissance dengan segala kuliah-kuliah ekonomi, falsafah bagai. Kerana kelak, kita juga akan bertemu kembali. Dengan ilmu, pengalaman, cara pandang berbeza, akan tiba masanya nanti kita akan bersinergi. Untuk benar-benar memanfaatkan ilmu yang dikutip dalam usaha untuk membina kembali semula sebuah tamadun. Bukan? Senyum.

Di mana jua anda dicampakkan, pasti punya sebab. Pasti punya hikmah. Dan hikmah itu, menanti untuk dijumpai. Maka, hargailah yang dekat. Jangan nanti, menyesal di kemudian hari.

Sahabat-sahabat, di mana jua anda berada, selamat menuntut ilmu.
IlmuNya yang maha luas ini.

"Gunung ilmu adalah pendakian pertama seorang hamba menuju TUHANnya." - Imam Al-Ghazali -


ps: oh dan masa on the way nak balik rumah masa hari Akademischer Tag tu, terserempak dengan Herr Brian(Lecturer kelas bahasa Jerman dahulu semasa di Intec sekarang bekerja di universiti saya.) Sempat sembang-sembang tanya khabar. Rasa macam kat Intec pulak. Hehe. Oh, dan bulan depan Frau Maria pulak akan datang ke sini.

Alhamdulillah.
Bahagia. :)

No comments:

Post a Comment