[Post di Fb bertarikh 8 Disember 2013]
Pernah
atau tidak terlintas di fikiran; bahawa, pemimpin hari ini, suatu
ketika dahulu, semasa di usia muda, mungkin saja punya cita dan
idealisme sepertimana kita anak muda pada hari ini.
Punya niat baik, mahu punya kuasa supaya senang untuk memaju dan membangunkan negara.
Mahu membela nasib orang-orang miskin.
Mahu menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran negara.
Dan pelbagai lagi matlamat-matlamat mulia yang lain.
Maka dia sewaktu mudanya, cukup gigih berusaha untuk mencapai
matlamatnya. Menyertai persatuan itu dan ini. Menjadi aktivis. Dan
lain-lain.
Namun, entah peristiwa apa yang berlaku sepanjang
perjalanan menuju tampuk kepimpinan itu, hasilnya, segelintir individu
yang dahulu pada masa mudanya punya semangat dan cita mulia, seolah bila
berada di atas, telah terlupa matlamat asalnya dahulu. Apabila memberi
pandangan tentang sesuatu isu rakyat, kadang-kadang seolahnya, rakyat
itu, langsung tidak ada tempat di hatinya. Atau apabila memberi buah
fikiran mencari solusi sesuatu isu, kadang-kadang buah pandangannya
kedengaran tidak logik, tidak profesional hingga membuatkan rakyat
sendiri tertanya-tanya entah bagaimana agaknya individu seperti ini
layak digelar pemimpin. Adakah kerana sudah terlalu selesa dengan
pangkat, harta dan status yang dimiliki? Atau tersalah pegang portfolio?
Dan kita, anak muda pada hari inilah, yang akan menggantikan mereka ini suatu hari nanti.
Anda yang hari ini, mungkin sahaja pelajar jurusan perubatan, atau kejuruteraan, atau pengajian Islam.
Tapi boleh saja, anda nanti, bekerja dalam bidang pengurusan. Menjadi
menteri misalnya. Ini tidak mustahil sedang di Malaysia sendiri,
bukanlah semua yang berada dalam kabinet merupakan lepasan jurusan sains
sosial, sains poilitik dan yang seumpamanya.
Bagaimana agaknya
nanti, anda di posisi yang tinggi itu, anda diamanahkan rakyat untuk
mentadbir, bilamana isu timbul, dan anda bertanggungjawab untuk
menyelesaikannya, senario yang sama berulang. Kerana tindakan@arahan
yang tidak relevan dari anda itu, puluhan, ratusan atau mungkin juga
ribuan rakyat, terbeban. Kerana anda, rakyat menanggung susah.
Dan semua ini berlaku kerana apa? Kerana kurangnya ilmu.
Di waktu muda inilah masanya untuk mengutip ilmu sebanyak mungkin.
Jangan hanya banyak membaca, tapi banyakkan juga bahan bacaan. Kerana
permasalahan negara dan dunia, tidak akan mampu diselesaikan dengan
hanya 1 bidang ilmu. Benar kepakaran bidang sendiri itu yang paling
utama namun itu bukanlah satu alasan untuk langsung tidak ambil tahu
bidang-bidang ilmu yang lain.
"If your only tool is a hammer, all your problems will be nail." - Mark Twain -
Jangan berkira-kira untuk mendalami sesuatu bidang ilmu, kerana kita
tidak tahu, entah ilmu mana yang kita pelajari hari ini, yang akan
betul-betul berguna kelak.
Dan sejarah, akan sentiasa berulang.
Hari ini anda mungkin menolak keras tindakan atau kenyataan dari
seseorang menteri, bahkan mungkin mengutuk tindakannya. Namun, hari
esok, bagaimana agaknya andai anda yang seorang menteri turut mengulang
situasi yang sama?
Untuk melakukan perubahan, tidak cukup dengan hanya memprotes, membangkang dan lain-lain yang bersifat reaktif.
Anda, anak mudalah yang perlu melakukan sesuatu.
Anda sendiri, yang perlu berubah, dan merubah.
Kerana anda, adalah aset harapan negara.
Anak muda, masihkah mahu membuang masa?
No comments:
Post a Comment