Thursday, 1 January 2015

Bunga Api

Jam sudah menunjukkan pukul 12.20 pagi.

Tapi bunyi dentuman bunga api belum lagi berakhir. Bermula juga sekitar 11.45 malam tadi.
Rumahku yang jaraknya dari tengah bandar kira-kira 17 minit perjalanan menaiki tram ini, dari ruang jendela sahaja begitu banyak sekali bunga api memenuhi ruang angkasa. Bunyi dentuman sabung-menyabung. Saja kukira, ada sekitar 6, 7 punca dari mana bunga-bunga api itu datang.

[Google Image]


Di Jerman, ada dahulu senior pernah kata, undang-undangnya menetapkan menjelang tahun baru sahaja bunga api, mercun boleh digunakan secara sah di sisi undang-undang. Makanya, jelaslah sebabnya mengapa. (Namun semasa musim piala dunia, jelas sekali undang-undang ini dilanggar. Tidak tahu pula kot-kot ada pengecualian untuk tempoh itu. Atau pengecualian diberi seandainya Jerman menang)

Konsep scarcity. Hanya boleh main bunga api, sekali setahun. Jadi sekali setahun itu, patut dimanfaatkan sepuasnya.

Aku lihat tadi, jujur aku seronok melihatnya. Walau bau asap sedikit kurang enak dihidu, namun pemandangan cantik di depan mata, mahu sahaja ditatap sepuas-puasnya. Rasa seronok. Gembira. Wah, cantiknya. Detik hati. Siapa yang tak suka?

Tapi, kegembiraan itu bukankah hanya sementara?
Mengapa manusia hari ini suka sahaja mengejar sesuatu yang bersifat sementara? Sedangkan Tuhan, sudah menjanjikan kegembiraan yang abadi di alam 'sana'? Mengapa tidak menjalankan urusan hidup mengikut landasan yang ditetapkan Tuhan, untuk mencapai sesuatu yang pasti, dari mengejar sesuatu yang bersifat sementara?

Adakah dunia serasa sangat indah?
Atau kita tidak cukup percaya pada hari akhirat yang pasti?

Aku suka tulisan Hazman Baharom yang baru dicoretnya menjelang Tahun Baru ini. Tentang konsep masa. Lalu aku teringat tulisan Neil Postman yang memetik Lewis Mumford dalam bukunya. Bahawa, masa ini hanyalah satu ciptaan manusia yang membuatkan manusia terasa dunia yang bergerak sekelilingnya boleh dikawal. Masa yang punya 24 jam sehari, 365 setahun ini walau sudah dikira sesempurna mungkin yang manusia mampu, masih juga tidak sempurna. Tahun lompat dan daylight-time saving adalah dua contoh yang menunjukkan bagaimana manusia mengubahsuai pula sedikit sistem 24 jam yang ada untuk disesuaikan dengan kejadian alam. Yang masih diluar kawalan manusia. Yang semestinya tidak akan mampu dikawal secara 100% oleh manusia. Tidak akan. Kerana manusia bukan Pencipta.

Tadi aku cuba-cuba juga merakam bunga api dari tingkap. Sekadar suka-suka. Lalu aku berhenti, menekan butang 'play' dan melihat. Jauh sungguh kualitinya. Ah, kamera lama. Kalau kamera baru mesti lawa. FIkir aku.

Putus asa merakam, Lalu aku lihat sahaja dengan kedua mata.
Dan terus sahaja terfikir; "Ya Allah. Cantiknya pemandangan dari mata sendiri."
Mata ciptaan Tuhan, yang jauh lebih menakjubkan dari segala HD yang ada.

Semakin lama masa berlalu, makin banyak teknologi dicipta manusia.
Makin lama, manusia makin maju. Majunya dia, kadang terasa seperti Tuhan yang 'in-control' terhadap segalanya.

Dia sangka dialah makhluk yang paling bijak.
Tapi bijaknya dia, tidak sampai memikirkan kesan. Lalu kesan buruk yang berlaku, hasil tangannya sendiri, menampakkan jelas bodohnya dia.

Manusia yang semakin hilang sisi manusiawinya. Akibat mengejar ketamakan dan hawa nafsu diri. Ciptaan-ciptaan yang memisahkan dirinya dari alam. Lalu, alam jugalah yang datang menyampaikan mesej, bahawa bijaknya dia hanyalah ilusi. Cuaca yang tidak menentu, bencana alam yang berlaku tanpa diduga, tidak lain tidak bukan mesej dari alam. Manusia, cukup-cukuplah berbuat kerosakan di bumi. Apa kau tidak nampak lagi? Apa kau buta tidak lagi nampak mana kesalahan kau?

Mesej dari alam yang semestinya datang dari penciptanya, Tuhan.
Tuhan, yang juga pencipta manusia.

Jam menunjukkan 12.50 pagi.
Bunyi dentuman bunga api masih kedengaran tapi sudah sayup-sayup.

Terima kasih Tuhan yang mengizinkan aku untuk mengingatiNya.
Hanya pada memerhati bunga api.

Carilah hikmah dari segala yang dilihat. Mencari-cari sisi untuk ingat Tuhan. Ingat Tuhan. Berzikir.
Kerana, mencari hikmah, umpamanya mencari ketenangan.

"Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenang."

Bukankah dalam Quran, Tuhan sudah bilang?

No comments:

Post a Comment