Thursday, 9 April 2015

MovieTalk - Malcolm X -



Seandainya filem pada Mac lalu, To Kill a Mockingbird membawa aku untuk cuba memahami konflik warga kulit hitam di Amerika Syarikat yang tidak pernah aku mahu ambil tahu secara mendalam, tayangan filem Malcolm X semalam pula banyak membawa aku untuk merenung kembali peristiwa sejarah yang aku kirakan penting buat renungan seorang muslim itu sendiri.

Jujur nama Malcolm X memang biasa aku dengari, tetapi mahu membaca tentangnya dengan lebih mendalam tidak pernah pula aku cuba lakukan walau niatnya sudah lama ada. Filem terbitan tahun 1992 ini diadaptasi dari buku Autobiografi Malcolm X yang ditulis oleh Alex Haley. Menurut pandangan moderator kami semalam, Judith, setakat pembacaan separuh buku itu oleh beliau, filem ini dibuat dengan sebegitu baik jika dibandingkan dengan isi buku.

[spoiler alert bermula untuk sesiapa yang mahu menonton filem ini terlebih dahulu]

Secara ringkas, filem ini membawa penonton untuk menelusuri hidup Malcolm semasa zaman remajanya sekitar 20 an, yang terjebak dengan pelbagai masalah sosial juga jenayah. Perubahan Malcolm, hanya mula berlaku bilamana dia dipenjarakan dan di situ dia menerima dakwah Islam. Beliau rajin membaca buku sepanjang di penjara. Kemudian sebaik keluar, beliau aktif memperjuangkan Islam, spesifik untuk warga kulit hitam dengan penglibatannya dalam The Nation of Islam. Perjuangan Malcolm jelas mahu mengangkat martabat kaum kulit hitam supaya keadilan benar-benar dapat dicapai. Namun sifat separatisme Malcolm yang hanya mahu memperjuangkan kaum kulit hitam, menimbulkan ketegangan. Kata-katanya di media kadang berbunyi kasar bilamana merujuk kepada orang kulit putih, yang jelas dapat dilihat dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Malcolm dalam adegan sejurus selepas kes pembunuhan John F. Kennedy.

Aku sendiri menontonnya merasa tidak kena atas pendekatan ini. Namun selepas Malcolm X pulang dari menunaikan haji, beliau mula sedar hakikat bahawa Islam sama sekali tidak eksklusif hanya untuk sesuatu bangsa. Namun untuk semua. Beliau kemudiannya mengisytiharkan diri keluar dari Nation of Islam atas perubahan pandangannya juga atas ketidaksetujuannya terhadap pemimpin pertubuhan itu sendiri iaitu Elijah Muhammad yang pada pandangannya, tidak melaksanakan apa yang didakwahkannya sendiri meski pada awal, dan dalam jangka masa yang lama, Malcolm sangat hormat padanya hinggakan tidak teragak-agak sekiranya berhadapan dengan situasi di mana dia perlu mengorbankan diri untuk menyelamatkan Elijah.

Di hujung filem, Malcolm X akhirnya ditembak mati dengan dahsyat sebaik sahaja beliau mahu memulakan ucapan di hadapan ratusan pendengar. Paling ironi, bilamana Malcolm berhempas-pulas sepanjang hidupnya untuk memperjuangkan nasib Black-American, namun, dibunuh oleh ahli pertubuhan The Nation of Islam itu sendiri.

[spoiler tamat]

Tema nilai eksklusiviti agama pada satu-satu bangsa, membawa aku merenung dengan keadaan di Malaysia sendiri.
Juga kata-kata Malcolm X bilamana cara fikirnya berubah, beliau mengatakan keperluan untuk bersatu tanpa mengira bangsa, namun satu bangsa itu sendiri haruslah bersatu terlebih dahulu sesama mereka. Juga mereka haruslah menghargai diri mereka sendiri. Dan dengan itu, langkah demi langkah, perpaduan yang benar-benar mahu dicapai, akan dapat direalisasikan.

Sesuatu yang menarik dalam sesi MovieTalk bulanan ini adalah pada aku, sesi diskusi sejurus tamat tayangan filem. Kekeliruan, sesuatu yang tidak jelas, dapat ditanya segera dan sesiapa yang mempunya pandangan boleh sahaja mengutarakannya. Kebanjiran filem pada hari ini, yang hampir nihil nilai, berfokuskan lawak, CGI(computer generated image) yang cantik, babak pergaduhan yang menarik perhatian, cinta yang (kelihatan) superfisial lelaki-perempuan, menonton filem-filem lama kadang mudah hilang fokus atau sukar untuk faham. Namun sesi diskusi sebegini sangat membantu.

Sepanjang menonton filem ini, aku tidak lah sekadar menonton hanya untuk tahu dan hiburan diri. Perbualan ringkas di alam maya bersama sahabat, Helma Hassan, asyik difikir-fikirkan sepanjang menonton. Menurut Helma, perkongsian dari Shaykh Yahya Rodus ada mengatakan bahawa catatan autobiografi Malcolm X ada yang tidak tepat dan sengaja diseleweng. Tidak pula Helma beritahu yang mana, cuma maklumat ringkas ini cukup membuatkan otak berfikir, mana satu agaknya plot/babak yang barangkali tidak kena.

Aku, sejak kecil, sangat suka filem animasi Disney, Pixar, Dreamworks. Sangat minat. Namun bilamana banyak mendengar talk dari Shaykh Hamza Yusuf, berkali-kali juga lemparan kritikan dilemparkan Shaykh, yang bersifat negatif ahu ditujukan kepada lambakan animasi terbitan Disney. Aku pada mulanya fikir; "Hek eleh. Kartun je kot. Amende negatifnya." Namun lama-lama, aku sendiri mula menonton filem dengan lebih kritikal. Dan hasilnya, aku sedikit demi sedikit cuba memahami keresahan yang mahu disampaikan oleh SHY tentang isi filem-filem Disney. Sekalipun aku benar-benar sangat suka, namun ruang suka itu masih punya ruang untuk menerima kritikan.

Aku ternanti-nanti juga, mana-mana individu yang boleh memberi kritikan ilmiah terhadap manganime.

No comments:

Post a Comment