[Post di Fb bertarikh 2 Disember 2013]
Hadir ke Simposium UTAM, pada 26 Ogos yang lalu, merupakan antara salah satu hari yang istimewa dalam hidup saya.
Di sebelah pagi dengan pembentangan serta sesi soal jawab berkaitan isu
pendidikan, manakala di sebelah petang pula berbincang mengenai
merentas semangat partisan dalam mencapai matlamat membangunkan negara.
Pengisian yang cukup menarik dan cukup banyak ilmu baru yang diperoleh yang membuka minda.
Sebelum sesi bermula, saya mengambil tempat duduk yang agak hadapan,
dan sebaik sesi bermula, hanya fokus mendengar dan mencatat nota. Agak
oblivious dengan keadaan sekitar. Hanya apabila Fathi Aris Omar
mula bercakap, dan melahirkan kekagumannya apabila melihat peserta
lelaki yang hadir begitu ramai, jauh lebih banyak daripada peserta
perempuan. Lalu saya meninjau ke kiri dan kanan dewan untuk betul-betul
memastikan sendiri kesahihan kata-kata beliau. Saya terkejut sendiri.
Sudah terlalu biasa menghadirkan diri ke banyak program di mana
kebiasaannya bilangan muslimat jauh lebih ramai. Tapi kali ini, tidak
keterlaluan sekiranya saya mengatakan, bahawa jumlah peserta lelaki yang
hadir, 5 atau 6 kali ganda atau mungkin juga lebih berbanding peserta
perempuan. Tahniah. Mungkin ini agaknya muka-muka bakal pemimpin negara.
Dan ya. Perkara yang ingin saya ketengahkan dalam penulisan kali ini,
adalah berkenaan keterlibatan perempuan dalam program-program
pembudayaan intelektualisme.
Teringat perbualan ringkas semasa makan tengah hari bersama Siti Fatimah Zaini dan kak Nor Fadzleen
semasa simposium. Semestinya sudah saya lupa bait-bait kata yang kami
bicarakan, namun, kesimpulan ringkas yang saya peroleh dari sesi bual
bicara ringkas tapi cukup bermakna itu adalah; satu perasaan 'a sense of
belonging.'
Di simposium itu, kami yang rata-ratanya sebelum
ini berkenalan hanya di dunia maya, ataupun tidak pernah kenal langsung,
dapat bertemu dan berkenalan muka ke muka. Yang paling seronok adalah,
untuk tiba-tiba membuka topik tentang isu semasa, permasalahan fikrah,
atau mahu berbincang tentang satu topik falsafah, bukanlah sesuatu yang
pelik, malah yang lain yang mendengar turut sama melontarkan pendapat
menambah rencah.
Mungkin dalam kehidupan seharian
masing-masing, bersama kawan-kawan sekuliah atau sepejabat, atau bulatan
usrah yang diikuti, saya ulangi, mungkin; orang lain di sekitar
menganggap bahawa diri ini:
fikrah celaru.
suka baca buku pelik-pelik.
tidak fit in.
terlalu banyak berteori.
liberal.
Dan kadang-kadang ada juga yang berpendapat, bahawa, orang seperti kami
ini, seolah-olahnya mahu menonjolkan diri, mahu tunjuk pada orang,
seolah-olah 'aku hebat sebab aku lagi banyak tahu dari kebanyakan orang
lain.'
Sedang kami sebenarnya, apabila cuba bercakap atau
mengulas tentang satu-satu isu dari satu sudut pandang yang mungkin agak
berbeza dari yang lain, bukanlah kerana diri ini mahu tunjuk pandai,
jauh sekali untuk berlagak sombong. Cuma, kami mahu berkongsi apa yang
kami tahu, lalu mendengar pula sudut pandang orang lain yang mungkin
kami sendiri tak pernah fikirkan. Dan mengajak pula orang lain untuk
turut memikirkan permasalah semasa dan memikirkan solusinya bersama.
Kerana kami sedar, bahawa hakikat ilmu itu terlalu luas. Semakin tahu
semakin tidak tahu. Lagi banyak tahu, semakin sedar diri ini bodoh. Dan
atas kesedaran inilah, kami mencari. Kerana kami percaya, 'knowledge is
power'. Dan dengan ilmu, masyarakat boleh diubah, negara boleh
dibangunkan.
Buat adinda-adinda(chewah. haha) sekalian. Di mana
atau apa jua situasi yang anda berada sekarang, jangan pernah penat
untuk mengejar apa yang anda percaya. Dan sentiasa ingat, bahawa anda
tidak berseorangan. Kami juga yang agak 'gila' seperti anda, ada. Dan
Dia juga sentiasa anda. Selamat mengejar ilmu Tuhan yang cukup luas ini!
"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemui-Nya" [Al-Insyiqaq:6]
Terima kasih Universiti Terbuka Anak Muda. Kerana mewujudkan, a place where we feel we belong to.
Dan semestinya, terima kasih Tuhan. Untuk segalanya.
Ini adalah sekadar luahan pandangan saya. Mungkin pandangan kita sama,
atau mungkin juga berbeza. Andai sudi, mohon juga share di ruangan komen
apa yang anda fikir dan rasa.
ps: Berbulan duk karang ayat dalam otak. akhirnya terluah jua.
dengar pasal bilangan peserta wanita,sangat membimbangkan la putri.walhal wanita inilah sentuhan pertama yang akan mendidik seseorang bayi yang akhirnya bakal membesar menjadi pemimpin negara nanti(lelaki atau perempuan).kalau sudah sentuhan ajaib inipun tak bijak bagaimanalah nasib ummat Islam amnya dan masyarakat Islam nusantara khususnya.risau2 bila wanita lebih gila Drama Korea dari cinta ilmu semasa dan ilmu agama.
ReplyDeleteEntahlah ain. Kebanyakan program/majlis ilmu sebegini, banyak berfokus kepada sisi rasional. Kurang sisi emosi. Dan bagi kebanyakan perempuan, tema-tema yang dibawa di dalam satu-satu majlis ilmu itu macam seolahnya berat dan sukar diproses untuk difahami. Barangkali fikir mereka, buat apa pergi kalau tak faham? Bukankah buang masa sahaja. Berbalik pada isu rasional. Perempuan yang hadir ke majlis sebegini pada pandangan akak, memang gemar untuk ambil tahu tentang isu, suka membaca, juga suka belajar perkara baru. Sisi rasional barangkali lebih menonjol berbanding perempuan lain. Tetapi, adakah perempuan itu, makin rasionalnya dia, makin baiklah dia?
DeleteYang itu, akak masih memikirkannya.